Daniel wira Sabah FC

Daniel wira Sabah FC

Kuala Lumpur: Sabah FC berjaya merakam kemenangan sulung Liga Super musim ini, selepas bangkit daripada ketinggalan dua kali untuk membenam Penang FC 3-2 pada aksi di Stadium Likas, Kota Kinabalu malam ini.

Pada perlawanan itu, Penang FC terlebih dahulu berada di depan menerusi jaringan penyerang import Dylan Wenzel Halls pada minit ke-17, namun pasukan tuan rumah pantas menyamakan kedudukan hasil penyudah Ajdin Mujagic lima minit kemudian.

Pasukan pelawat sekali lagi berada di depan selepas Wenzel Halls meledak gol peribadi keduanya pada minit ke-39, sekali gus meletakkan pasukan mendahului 2-1 memasuki separuh masa.

Bersambung babak kedua, Sabah memastikan sokongan penyokong tuan rumah tidak sia-sia apabila Jafri Firdaus Chew meledak gol penyamaan kedua pada minit ke-56, sebelum Daniel Ting muncul wira pasukan dengan gol kemenangan pada minit ke-71.

Tiga mata berharga dikutip skuad Sang Badak itu, membolehkan mereka memanjat ke tangga kesembilan dengan mengumpul tujuh mata selepas mengharungi sembilan perlawanan sementara Penang di posisi ke-11 dengan meraih lima mata.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top