Susuk tidak beri kesan biologi: Paka

Susuk tidak beri kesan biologi: Paka

asyikin.mat@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Tiada kajian klinikal atau saintifik yang membuktikan susuk memberi kesan perubahan biologi pada kulit, peningkatan kecantikan, aura, pesona dan keyakinan terhasil daripada amalan memakai susuk.

Pakar Dermatologi An-Nur Specialist Hospital Dr Waheeda Diana Abdul Kadir berkata, terdapat beberapa jurnal sainstifik yang membincangkan penemuan bahan susuk secara tidak langsung ketika intervensi rawatan rahang terutamanya oleh pakar pergigian.

Menurutnya, susuk atau charm needles adalah berasaskan mistik atau berkaitan ilmu halus atau ghaib.

“Dalam pemakaian susuk, logam kecil berunsurkan emas, perak dan tembaga akan dimasukkan ke bawah kulit pemakai.

“Keberkesanannya subjektif dan bergantung kepada kepercayaan pemakai. Dalam konteks Islam, amalan susuk amalan syirik,” katanya.

Beliau berkata, daripada sudut pandangan pakar dermatologi, masalah kulit akibat susuk boleh dikenal pasti, namun memerlukan maklumat lengkap daripada pemakai dan pemeriksaan fizikal.

Beliau menyarankan biopsi kulit dilakukan untuk mengesahkan sama ada pemakaian susuk menyebabkan pembentukan foreign body granuloma atau reaksi alahan.

Jelasnya, susuk boleh menyebabkan komplikasi kulit dan kesihatan dalam jangka masa panjang jika tidak dikeluarkan.

“Ini kerana ia bertindak sebagai benda asing foreign body di bawah kulit pemakai dan boleh memberi impak negatif terhadap tubuh badan.

“Antara komplikasi kulit jangka panjang termasuk keradangan kronik, pembentukan foreign body granuloma, benjolan di kawasan susuk, alahan yang boleh menyebabkan kulit menjadi merah, bengkak atau bernanah dan risiko infeksi kulit selain sistemik jika lebih serius.

“Pemakaian susuk di tempat yang salah boleh juga merosakkan saraf atau otot,” katanya.

Dr Waheeda Diana berkata, jika berlaku reaksi tubuh yang berpanjangan atau infeksi, pembuangan susuk adalah dinasihatkan melalui pembedahan kecil.

Katanya lagi, walaupun era modenisasi mengangkat kecantikan, susuk bukanlah solusi ideal atau selamat untuk penampilan, sebaliknya membawa risiko kesihatan yang serius dan amalan syirik.

“Antara pilihan yang semakin popular ialah skin booster dan suntikan bahan seperti asid hialuronik ke dalam kulit untuk meningkatkan kelembapan dan keanjalan kulit.

“Kajian klinikal juga membuktikan suntikan skin booster ini dapat memperbaiki tekstur kulit dan keserian kulit secara semulajadi.

“Picolaser pula menggunakan teknologi laser yang sangat pantas untuk merawat pigmentasi, parut dan memperbaharui tekstur kulit,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top