Milan: Jaringan Christian Pulisic membolehkan AC Milan menang 1-0 ke atas seteru bandar mereka, Inter Milan, di San Siro, awal pagi tadi yang turut menyaksikan Mike Maignan menyelamatkan sepakan penalti Hakan Calhanoglu sekali gus menafikan tuan rumah gol penyamaan.
Rentetan tiga kemenangan berturut-turut Inter membawa mereka ke puncak liga, tetapi persaingan Scudetto musim ini sangat sengit, dengan AS Roma kini menduduki tangga teratas selepas menang 3-1 di Cremonese dan Milan kini mengekori rapat.
Milan melonjak ke tempat kedua dengan 25 mata, dua mata di belakang Roma, dan berkongsi mata dengan juara bertahan Napoli. Inter pula, yang berpeluang kembali ke puncak dengan kemenangan, jatuh ke kedudukan keempat dengan 24 mata bersama Bologna.
Selepas babak pertama yang rancak di mana Inter menguasai kebanyakan peluang dan Milan diselamatkan oleh penjaga gol mereka serta tiang gol, Pulisic memberikan Milan kelebihan sembilan minit selepas rehat.
Kesalahan Strahinja Pavlovic terhadap Marcus Thuram memberikan Inter peluang 16 minit sebelum tamat, tetapi Maignan sekali lagi menjadi penyelamat.
“Kami mencipta banyak peluang jaringan, tetapi kami berdepan seorang penjaga gol yang luar biasa malam ini,” kata Thuram kepada Inter TV.
Inter menyerang sejak awal permainan, dengan Maignan menyelamatkan sepakan awal Thuram, dan tandukan kencang Francesco Acerbi pula sekadar menggegar tiang.
Maignan kemudian menolak voli Lautaro Martinez ke tiang sebelum Milan akhirnya mencipta sedikit ancaman melalui percubaan jarak jauh Pulisic yang hanya melencong sedikit.
“Dalam 15 minit pertama kami agak tersekat, kemudian pasukan bermain lebih baik,” kata pengurus Milan, Massimiliano Allegri, kepada DAZN.
“Kami perlu memperhalusi beberapa perkara dan melibatkan Saelemaekers serta Pulisic lebih banyak.”
Selepas menyerap tekanan awal Inter pada separuh masa kedua, Milan melancarkan serangan balas dari kawasan sendiri yang membawa kepada gol kemenangan.
Youssouf Fofana menghantar bola kepada Alexis Saelemaekers yang lolos ke dalam kotak, dan selepas rembatan rendahnya ditepis penjaga gol Yann Sommer, Pulisic menyambar bola muntah untuk menjaringkan gol dari jarak dekat.
© New Straits Times Press (M) Bhd




