redzuan.muharam@hmetro.com.my
Bandar Baru Bangi : “Andak, nanti semua gambar masuk dalam Google Drive. Bagi semua tengok.”
Ini pesanan terakhir Allahyarham Wan Adlin Nadhilah Wan Nasrul Hakim, 23, atau nama manjanya Alin kepada ibu saudaranya, Wan Nur Hidayah Wan Muhammad, 42, kira-kira 15 minit sebelum meninggal dunia dalam kemalangan pada 15 November lalu.
Dalam kejadian itu, kereta dinaiki mereka dipercayai dilanggar kenderaan dari arah bertentangan di Kilometer 126 Jalan Kuala Lumpur-Kuantan berdekatan simpang ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh, Pahang.
Berkongsi isi hatinya, Wan Nur Hidayah yang memandu kereta itu masih bersedih dengan pemergian Alin kerana dia menjadi individu terakhir yang ada bersama anak saudaranya itu.
Katanya, sebelum kejadian, anak saudaranya juga tidak menunjukkan tanda pelik dan gembira, malah teruja melihat hasil gambar diambilnya.
“Pada hari kejadian, saya dengan rakan serumah dan seorang lagi anak saudara iaitu adik arwah menemaninya pergi mengambil gambar pra konvokesyen.
“Selepas ambil gambar, saya tunjuk hasilnya dan arwah kata ‘cantiknya, cukup Andak (nama panggilan) jadi jurugambar tak perlu upah orang lain’.
“Cuma selalunya arwah ketawa, tapi hari itu banyak diam dan selesai bergambar, kami pergi solat, singgah makan kemudian tukar kereta dengan abang sebelum teruskan perjalanan untuk hantar arwah dengan adiknya pulang ke rumah,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Konvokesyen ke-53 di Dewan Canselor Tun Abdul Razak (DECTAR) UKM, di sini.
Dalam majlis itu, Allahyarham sepatutnya naik ke pentas untuk menerima Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan, namun dia digantikan kakaknya, Wan Aishah Wahidah Wan Nasrul Hakim, 24.
Hadir sama, ibu bapa Allahyarham, Wan Nasrul Hakim Wan Muhammad, 49, dan Fatin Sharina A Halim, 46, serta adiknya, Wan Anisah Farhah, 22.
Berkongsi mengenai kejadian itu, Wan Nur Hidayah berkata, dalam perjalanan pulang, dia melihat dua kereta di laluan bertentangan memotong sebuah kenderaan.
“Saya sempat kata, ‘tengok kereta depan berlumba’ tapi arwah diam saja dan tak lama kemudian, salah satu kenderaan terbabas.
“Saya cuba elak kemudian dengar bunyi letupan dan tak sedar apa yang berlaku selepas itu,” katanya.
Wan Nur Hidayah berkata, dia yang berada dalam kenderaan ketika itu terus mencari Allahyarham Alin yang tiada di dalam kereta.
“Bila tengok ke luar, saya nampak arwah terbaring di luar dalam keadaan auratnya tertutup dan tak ada yang terselak.
“Daripada tak boleh nak berjalan, saya terus keluar ikut pintu penumpang dan pergi dapatkan arwah.
“Saya terus pangku arwah dan waktu itu cuba rasa nadinya namun sudah tiada.
“Sedih sangat kerana saya tengok arwah membesar sejak kecil dan rapat ibarat anak sendiri,” katanya.
Berkongsi mengenai kehadirannya ke Majlis Konvokesyen tanpa Allahyarham, Wan Nur Hidayah berkata, dia sepatutnya tidak hadir kerana ada kursus di Seremban, Negeri Sembilan.
“Saya teman arwah ambil gambar konvokesyen pun kerana ikutkan tak dapat hadir hari ini.
“Tapi hari ini, saya kuatkan diri untuk hadir juga walaupun tanpa arwah,” katanya.
Terdahulu, Harian Metro melaporkan kisah pemergian Alin yang meruntun hati warganet selepas bapanya, Wan Nasrul Hakim memuat naik hantaran gambar swafoto terakhir bersama Allahyarham dan luahannya di Facebook.
Kisah itu memilukan kerana Alin dijemput Ilahi sebelum sempat meraikan kejayaannya menamatkan pengajian di UKM.
Alin salah seorang daripada 734 graduan yang menamatkan pengajian di Fakulti Ekonomi dan Pengurusan UKM sempena Majlis Konvokesyen ke-53, hari ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd




