Kota Bharu: Operasi penerbangan di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) di sini, setakat pagi ini masih berjalan lancar meskipun negeri ini berdepan situasi banjir.
Ketua Pegawai Operasi Malaysia Airports Sdn Bhd, Kamaruzzaman Razali, mengesahkan semua penerbangan yang dijadualkan masih beroperasi seperti biasa tanpa sebarang penangguhan ketara.
“Bagaimanapun, semalam satu penerbangan AirAsia AK6430 dari Kuala Lumpur ke Kota Bharu yang dijangka tiba pada 8.30 malam terpaksa dialihkan ke Pulau Pinang akibat keadaan cuaca buruk. Penerbangan tersebut selamat tiba semula di Kota Bharu pada 11.30 malam tadi.
“Setakat ini tiada sebarang pembatalan penerbangan walaupun beberapa kawasan sekitar Kota Bharu mencatat peningkatan paras air. Landasan kapal terbang juga berada dalam keadaan selamat tanpa sebarang halangan,” katanya kepada Bernama hari ini.
Kamaruzzaman berkata pihaknya akan terus memantau keadaan cuaca dari semasa ke semasa bagi memastikan aspek keselamatan berada pada tahap optimum.
Beliau turut memaklumkan sebarang perubahan jadual penerbangan akan dimaklumkan kepada penumpang melalui saluran rasmi syarikat penerbangan masing-masing.
Semalam, tular video di media sosial memaparkan LTSIP digenangi air susulan hujan lebat berterusan pada tahap waspada.
© New Straits Times Press (M) Bhd




