Sarawak bentang Belanjawan 2026 berjumlah RM12.91 bilion

Sarawak bentang Belanjawan 2026 berjumlah RM12.91 bilion

mdroji@bh.com.my

Kuching: Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg membentangkan Belanjawan Sarawak 2026 berjumlah RM12.91 bilion pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, hari ini.

Daripada jumlah itu, RM5.6 bilion diperuntukkan bagi perbelanjaan operasi dan RM7.3 bilion untuk pembangunan.

Abang Johari yang juga Menteri Kewangan dan Ekonomi Baharu Sarawak berkata, dengan negeri ini mengunjurkan hasil sebanyak RM13.05 bilion tahun depan, Belanjawan Sarawak 2026 adalah belanjawan lebihan yang dijangka menjana lebihan sebanyak RM144 juta.

“Daripada perbelanjaan operasi yang berjumlah RM5.6 bilion, sebanyak 25 peratusbatau RM1.4 bilion, adalah untuk emolumen kakitangan; RM2.2 bilion untuk bekalan dan perkhidmatan; RM1.8 bilion untuk geran dan bayaran tetap, yang termasuk geran operasi kepada badan berkanun dan pihak berkuasa tempatan, pembayaran hutang awam dan pembayaran ganjaran, pencen dan biasiswa; RM99 juta untuk perolehan aset dan RM150 juta untuk perbelanjaan operasi lain,” katanya.

Beliau berkata, salah satu inisiatif dalam sembilan teras strategik Belanjawan Sarawak 2026 adalah untuk mengubah dan mempelbagaikan ekonomi Sarawak adalah untuk mengubah ekonomi berasaskan pertanian.

“Pertanian terus menjadi tonggak penting pembangunan ekonomi Sarawak dan ketika ini sektor ini berada di kedudukan keempat penyumbang terbesar kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK),” katanya.

Menurutnya, berdasarkan statistik 2014, sektor pertanian menyumbang 10.2 peratus daripada KDNK, berjumlah RM15.1 bilion.

“Bagi memodenkan lagi sektor pertanian, sejumlah RM73 juta diperuntukkan untuk menggalakkan penggunaan teknologi canggih merentasi keseluruhan rantaian bekalan pertanian.

“Daripada jumlah itu, RM19.5 juta untuk pembangunan Taman Agroteknologi Sarawak (SARTECH) di Semenggok dan Tarat; RM27.5 juta untuk pembangunan taman pertanian jitu di Kabuloh, Sungai Sebiew dan Rampangi; RM20 juta untuk pembangunan Kluster Makanan Metropolitan di Opar (MFC) dan RM5.9 juta untuk pelaksanaan sistem Internet of Things (IoT) untuk pertanian dan akuakultur,” katanya.

Menurutnya, bagi memperkasa sektor pelancongan, sejumlah RM129 juta diperuntukkan untuk mengubah suai bangunan Dewan Undangan Negeri lama menjadi pusat seni persembahan; pembangunan semula kolam renang Majlis Bandaraya Kuching Selatan menjadi taman hiburan air dan pusat Bandar Kreatif Gastronomi UNESCO; Pelancongan Bakau Sadong Jaya dan projek muzium.

“Belanjawan Sarawak 2026 kekal sebagai belanjawan strategik dan pengembangan yang dibina atas kejayaan kejuruteraan semula hasil dan pengurusan kewangan yang berhemat,” katanya.

Beliau berkata, belanjawan dengan tema “Memperkasakan Rakyat, Memajukan Kemakmuran, Membina Masa Depan yang Berdaya Tahan”, diyakini akan memperkasakan Sarawak untuk membuat pelaburan berani dalam infrastruktur, transformasi digital dan pembangunan mampan, sambil meletakkan kesejahteraan rakyat sebagai keutamaan.

“Tema ini mencerminkan keyakinan kukuh kerajaan ini bahawa aset terbesar kita adalah rakyat kita dan peranan negeri adalah untuk memperkasakan setiap rakyat Sarawak sama ada di luar bandar dan bandar, tua dan muda, lelaki dan wanita untuk mengambil bahagian sepenuhnya dan bermakna dalam kemajuan Sarawak tercinta,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top