PKR tidak arah sokong mana-mana parti bertembung

PKR tidak arah sokong mana-mana parti bertembung

rnoraina@hmetro.com.my

Kuala Lumpur : Parti Keadilan Rakyat (PKR) tidak mengeluarkan sebarang arahan kepada ahlinya untuk memberikan sokongan kepada mana-mana parti dalam kerajaan yang berlaku pertembungan kerusi di Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Setiausaha Agungnya, Datuk Dr Fuziah Salleh berkata, perkara itu akan diputuskan oleh pemimpin pusat berdasarkan peluang menang calon-calon yang bertanding.

Beliau berkata, keputusan mengenai calon mana akan disokong akan dibuat apabila tiba masanya.

“Buat masa ini, tiada arahan menyeluruh. Kami melakukannya berdasarkan kes demi kes, bergantung kepada yang mana lebih berpeluang untuk menang,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Persidangan E-Dagang ASEAN 2025 di sini, hari ini.

Terdapat pertembungan calon Pakatan Harapan (PH), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Barisan Nasional (BN) membabitkan beberapa kerusi dalam PRN pada 29 November ini.

Antara kerusi yang menyaksikan pertembungan calon GRS dan PH adalah kerusi DUN Moyog dalam Parlimen Penampang manakala BN-PH bagi DUN Karamunting di Sandakan.

Di DUN Kemabong pula menyaksikan ketiga-tiga parti bertembung sesama sendiri.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini dilapor menyifatkan pertembungan calon itu sebagai pertarungan persahabatan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top