suharmin.yusuf@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Laluan tangga kecemasan sebuah pusat beli-belah bertukar ‘laluan meloloskan diri’ apabila puluhan warga asing panik dan cuba melarikan diri termasuk berlakon menjadi pelanggan premis dalam operasi bersepadu Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kuala Lumpur bersama agensi sahabat, di sini, hari ini.
Wartawan Harian Metro yang mengikuti operasi terbabit, bermula jam 12 tengah hari hingga 1.45 petang selepas kawasan GM Plaza, Lorong Haji Taib, di sini, itu dikenal pasti sering menjadi tumpuan warga asing tanpa dokumen.
Tinjauan ketika operasi terbabit mendapat ada warga asing yang berpura-pura menjadi pelanggan dan duduk di premis seolah-olah sebagai pengunjung sambil membelek barangan dijual untuk mengaburi pemeriksaan.
Sebahagian lagi menyorok di premis, selain cuba menjarakkan diri seolah-olah pelanggan biasa.
Ketika pemeriksaan dijalankan pihak berkuasa, ramai juga warga asing yang cuba menyelinap melalui laluan kecemasan termasuk menggunakan laluan lif sebaik menyedari kehadiran penguat kuasa.
Serbuan dijalankan JIM Kuala Lumpur itu, dilaksanakan di bawa operasi KL Strike Force (KSF) dengan kerjasama Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Kuala Lumpur (KPDNKL) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Dalam operasi itu, seorang lelaki Pakistan, Munir, 47, ditahan ketika cuba memberikan kad Suruhanjaya Tinggi Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu Untuk Pelarian (UNHCR) yang sudah tamat tempoh.
Semakan mendapati kad berkenaan luput sejak Oktober tahun lalu.
Munir mendakwa sudah enam tahun tinggal di Malaysia bersama lapan ahli keluarga lain di Setapak, di sini.
“Tolong lepaskan saya, saya ada dokumen ini (kad UNHCR), keluarga saya sedang sakit. Saya datang sini hanya mahu beli beg untuk ke Kanada bulan depan,” katanya ketika ditemui Harian Metro, di sini, hari ini.
Dia juga mendakwa sudah menjalani pemeriksaan kesihatan untuk ke Kanada.
Turut ditahan, warga Myanmar, Kamid, 22, yang gagal menunjukkan sebarang dokumen sah tinggal tinggal di Malaysia.
“Pasport dan visa saya tinggal di rumah, lupa bawa. Saya datang sini mahu jalan-jalan saja,” katanya.
Katanya, dia mengaku baru tiba tiga bulan di Malaysia dan membayar lebih RM6,000 kepada ejen sebelum masuk ke negara ini dan masih menganggur.
Tindakan susulan akan diambil mengikut kesalahan masing-masing selepas semua premis dan individu selesai diperiksa.
Terdahulu Harian Metro melaporkan, lambakan barangan tiruan dijual secara terbuka oleh peniaga dipercayai warga asing terus berleluasa apabila mereka tanpa segan silu menawarkan pakaian berjenama, kosmetik dan peralatan elektronik dengan harga jauh lebih murah.
Tinjauan Harian Metro di sekitar GM Plaza dan Pusat Pemborong Plaza Plaza Haji Taib, Chow Kit, mendapati kawasan berkenaan seakan dimonopoli warga asing dengan menjadikan lorong dan premis tertentu sebagai lokasi jualan.
Antara barangan yang ditawarkan termasuk pakaian berjenama, mainan serta aksesori barangan elektronik dengan harga tidak masuk akal berbanding pasaran.
© New Straits Times Press (M) Bhd




