zanariah_mutalib@bh.com.my
Kuala Lumpur: Kementerian Komunikasi menjelaskan tidak ada sebarang keputusan dibuat di peringkat kementerian atau Kabinet, sama ada akan mengenakan hukuman kepada ibu bapa yang membenarkan anak mereka berusia 16 tahun ke bawah membuka media sosial, selepas peraturan mengenainya dilaksanakan kelak.
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, kerajaan mempunyai keazaman politik untuk menangani masalah ketagihan media sosial dan internet dalam kalangan kanak-kanak, namun sebarang keputusan mengenainya memerlukan perbincangan teliti dan konsensus bersama.
“Jika kita cakap tidak benarkan anak-anak berusia 16 tahun ke bawah membuka media sosial, itu tidak bermakna mereka tidak boleh menggunakan internet. Itu berbeza.
“Jadi, ibu bapa masih ada tanggungjawab untuk mendidik anak-anak. Kita buat keputusan untuk anak kita, tapi isunya di sini, apabila ibu bapa yang memberi telefon kepada anak-anak, tapi tidak kisah apa kandungan yang mereka tengok.
“Adakah kita siap sedia meletakkan hukuman atau mengambil tindakan terhadap ibu bapa? Setakat ini, saya rasa tiada keputusan di peringkat kementerian atau Kabinet tapi dalam isu seperti ini, perbincangan dan konsensus sangat penting,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi penggulungan perbahasan peringkat jawatankuasa Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2026 bagi Kementerian Komunikasi di Dewan Rakyat, hari ini.
Teo menjawab celahan Sim Tze Tzin (PH-Bayan Baru) sama ada kerajaan akan mengambil satu langkah ke hadapan untuk menghukum ibu bapa yang membenarkan anak mereka yang berusia 16 tahun ke bawah membuka akaun sosial media.
Semalam, Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata, kerajaan menyasarkan larangan ke atas golongan berusia bawah 16 tahun membuka akaun media sosial bermula tahun depan.
Katanya, larangan berkenaan berasaskan keputusan Kabinet bagi mengekang jenayah siber rentas usia termasuk melindungi kanak-kanak daripada pemangsa seksual.
Mengulas lanjut, Teo memaklumkan turut bersetuju dengan pandangan Datuk Muhammad Bakhtiar Wan Chik (PH-Balik Pulau) bahawa kerajaan tidak boleh memberikan reaksi spontan terhadap larangan menggunakan media sosial bagi kanak-kanak berusia bawah 16 tahun yang akan dilaksanakan Australia bermula 4 Disember ini, tanpa penelitian lanjut mengenainya.
Mengenai pendekatan yang akan digunakan dalam melaksanakan peraturan itu, beliau berkata, kaedah pengesahan usia akan digunakan, berbeza dengan jaminan usia yang dilaksanakan di Australia, yang tidak memerlukan penghantaran sebarang dokumen.
“Apabila kita buat pengesahan usia, kita perlu melalui proses eKYC. Ini memang boleh dilaksanakan platform.
“Kita memang harap platform boleh melaksanakan eKYC untuk memastikan tidak ada yang berusia 16 tahun ke bawah membuka akaun media sosial. Kami akan maklumkan kepada platform dan lihat maklum balas mereka,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




