essabuyamin@bh.com.my
Kuala Lumpur: Guru Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha mendakwa beliau menerima panggilan daripada Penolong Kanan (Hal Ehwal Murid) sekolah itu, memaklumkan seorang pelajar perempuan pengsan di Asrama Puteri dan bergegas ke lokasi pada 16 Julai lalu.
Pada prosiding di Mahkamah Khas Koroner di Papar, Sabah, hari ini, Rezany Mohd Taupek yang juga saksi ke-51 inkues kes kematian Zara Qairina Mahathir berkata, apabila tiba di lokasi kira-kira jam 3.31 pagi, beliau melihat dan mengecam pelajar itu sebagai Zara.
Zara terbaring di laluan simen tepi rumah warden Puteri Blok A dan kelihatan tidak sedarkan diri. Beliau menyangka Zara ‘sedang tidur’ kerana terdengar bunyi seperti berdengkur.
Menceritakan semula keterangan saksi itu, pasukan guaman mewakili ibu arwah yang diketuai Shahlan Jufri, dalam satu kenyataan berkata, saksi memberitahu mahkamah bahawa beliau pada mulanya tidak melihat sebarang darah mengalir, tetapi melihat tulang tertonjol dan tidak pasti dari kaki sebelah mana.
“Menurut saksi, beliau berada di lokasi sehingga ambulans tiba dan Zara dibawa ke hospital dan mengikut arahan Ketua Warden, saksi cuba menghubungi ibu Zara bermula 4.14 pagi dan berjaya pada 4.19 pagi.
“Saksi memaklumkan bahawa Zara cedera, patah kaki dan pengsan selain memaklumkan seorang warden perempuan menemani Zara ke hospital,” menurut kenyataan ringkasan harian prosiding inkues itu.
Zara Qairina, 13, disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth (HQE), Kota Kinabalu, Sabah, pada 17 Julai lalu.
Saksi juga memberitahu mahkamah bahawa beliau menghantar mesej WhatsApp kepada ibu Zara untuk memberitahu nombor warden yang mengiringi Zara dan menasihatkannya membawa kad pengenalan ke hospital.
“Saksi melawat Zara di hospital pada malam 16 Julai 2025 dan petang 17 Julai 2025, termasuk berada di luar wad neurosurgeri semasa proses mencabut tiub dan hadir ke pengebumiannya di Sipitang tetapi hanya tiba selepas proses selesai
“Selepas kes Zara, saksi berkata sistem ketua dorm tidak dilakukan lagi di sekolah kerana pelajar Tingkatan 1, 2 dan 3 mengikuti Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PDPR).
“Oleh itu, sekolah kini tidak mempunyai pelajar tingkatan 1, 2 dan 3 di blok asrama,” menurut kenyataan itu lagi.
Pada prosiding itu, saksi berkata berdasarkan pemerhatian beliau, sebagai pembaharuan dalam pengurusan dorm sejak kes Zara, apa-apa yang berlaku di perkarangan asrama perlu dimaklumkan kepada pihak warden dan sekolah.
“Beliau juga berkata set kamera kamera litar tertutup (CCTV) sudah dipasang. Saksi tidak setuju sama ada ia menjadi rutin warden untuk membuat rondaan di setiap aras asrama.
“Saksi bertugas di Unit Disiplin Tingkatan 6 dan tidak terbabit dalam siasatan dalaman Unit Disiplin untuk kes Zara. Sewaktu kejadian, Unit Disiplin diketuai Asnan Ibrahim, dan dibantu Syahadah dan ada beberapa AJK (Ahli Jawatankuasa) lain.
“Saksi kurang pasti sama ada guru dalam unit disiplin ada menerima latihan dari Kementerian Pendidikan (KPM),” menurut kenyataan berkenaan.
Selain itu, saksi bersetuju selepas kejadian menimpa Zara, ada satu kes buli membabitkan pelajar lelaki di asrama putera dan mendakwa pelajar-pelajar yang terbabit sudah dihukum gantung sekolah.
Saksi berkata, beliau kurang pasti mengenai kes di mana seorang pelajar senior ada didakwa berkata kepada seorang pelajar lain: “Aku hempaslah kepalamu ni, kau mahu ka jadi macam Zara?”
Menurut saksi, dia ada membenarkan permintaan seorang pelajar untuk ke tempat bucu longkang di mana Zara mula-mula dijumpai, kerana ia adalah laluan utama di bangunan asrama, tetapi saksi tidak ingat siapa pelajar berkenaan dan cuma ingat dia ada ditanya pelajar terbabit selepas solat Subuh.
“Saksi berkata secara umumnya dia tidak tahu apa yang berlaku di blok asrama perempuan kerana ia di luar skop tugasannya sebagai warden asrama lelaki.
“Saksi berkata dia ada bertanya beberapa orang pelajar dan guru dan mereka tidak tahu apa punca sebenar. Saksi berkata dia ada mendapat tahu beberapa perkara mengenai Zara tetapi tidak mahu membuat sebarang spekulasi.
“Namun, saksi berkata dia enggan jawab pertanyaan peguam mengenai apa perkara yang saksi tahu mengenai kejadian menimpa Zara, kerana saksi bersetuju dia sebenarnya tidak tahu perkara yang sebenar.
“Saksi ingat ada mesyuarat tergempar pada 17 Julai 2025, dihadiri warden, guru disiplin, kaunselor dan Pentadbir Sekolah.
“Mesyuarat membincangkan kejadian yang berlaku ke atas Zara, khususnya bagaimana Zara dijumpai dan dibawa ke hospital,” menurut kenyataan itu.
Kenyataan sama memaklumkan, hasil rumusan mesyuarat tidak diketahui saksi kerana tidak ada sebarang keputusan rasmi dibuat dan kesimpulan mesyuarat adalah untuk memberikan kerjasama dengan semua pihak terutama polis.
Saksi tidak tahu jika ada minit mesyuarat tersebut masih disimpan dan saksi juga memberitahu mahkamah bahawa beliau tidak ingat mengenai mesyuarat PIBG yang diadakan pada 30 Julai 2025, walaupun namanya ada dalam minit kehadiran.
Saksi tidak setuju bahawa tujuan dia hadir mesyuarat itu adalah untuk membincangkan cara untuk membersihkan nama sekolah dalam kes Zara.
“Saksi berkata dia tahu ada beberapa guru yang berkongsi dan membaca diari Zara di WhatsApp tetapi dia tidak tahu siapa sebenarnya guru yang berkongsi.
“Saksi tidak pasti sama ada pihak sekolah boleh berkongsi diari Zara sesama sendiri. Saksi juga tidak pasti jika ada Prosedur Operasi Standard (SOP) untuk pihak sekolah membaca dan menyemak diari pelajar mereka tersendiri.
“Saksi berkata dia tahu mengenai hantaran-hantaran di media sosial oleh ahli keluarga arwah Zara yang bertanyakan tentang kes Zara dalam dua minggu kes terbabit berlaku,” katanya.
Selain Shahlan, pasukan guaman mewakili ibu Zara Qairina turut dibarisi Rizwandean M Borhan, Mohd Syarulnizam Mohd Salleh, Mohd Luqman Syazwan Zabidi, Farrah Nasser dan Elhanan James.
© New Straits Times Press (M) Bhd




