am@hmetro.com.my
Melaka: “Jika Allah tak lindungi kami, mungkin kami dah ‘arwah’,” kata Siti Hasniah Hasan, 41, menceritakan detik cemas bersama suaminya yang nyaris melanggar buaya di tengah jalan berhampiran Empangan 25, Duyong pada Ahad.
Dalam kejadian kira-kira 9 malam itu, Siti Hasniah membonceng motosikal ditunggang suaminya, Yusmalizai Mat Jusoh, 43, dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Taman Sri Kandang melalui laluan pintas yang sering digunakan penduduk kampung.
Katanya, ketika itu hujan lebat dan tiada kenderaan lain melalui jalan berkenaan.
“Suami memang bawa laju sebab nak cepat. Bila sampai dekat jambatan Empangan 25, kami tak nampak jalan kerana hujan lebat… (tapi) tiba-tiba suami brek kuat dan kata ada buaya,” katanya ketika dihubungi.
Dalam kekalutan itu katanya, dia bersyukur suaminya sempat memberhentikan kenderaan apabila terlihat buaya bersaiz dewasa di tengah jalan.
“Mujur sempat brek… memang jarak kami dah sangat dekat, tapi buaya itu diam saja. Saya cepat-cepat turun dan lari ke belakang.
“Dalam keadaan cemas itu suami sempat rakam video dan ambil gambar sebagai bukti sebelum kami terus balik,” katanya.
Siti Hasniah yang dua tahun tinggal di situ berkata, kejadian buaya naik ke darat bukan pertama kali di kawasan itu, malah turut dilapor berlaku sehari sebelum dia terserempak reptilia berkenaan.
“Allah saja tahu perasaan saya.. sebelum ini pernah nampak buaya, tapi jauh di dalam sungai,” katanya yang masih trauma dengan kejadian itu.
Seorang lagi penduduk, Muhammad Aiman Syarifuddin Zainuddin, 23, berkata, buaya dipercayai naik ke darat di kawasan berhampiran jambatan sama pada 10 malam Sabtu dan dia sempat meninjau lokasi itu selepas dimaklumkan anak saudara.
“Saya terus hubungi bomba apabila tiba di lokasi dan melihat buaya itu masih ada dengan mulut terbuka.
“Tidak lama kemudian, orang kampung berkumpul untuk melihat sendiri. Namun agak kecewa apabila pasukan bomba tiba, mereka tidak tangkap buaya itu sebaliknya menghalaunya ke sungai,” katanya yang bimbang kehadiran buaya yang boleh mengancam nyawa penduduk.
© New Straits Times Press (M) Bhd




