Anak Schumacher sertai IndyCar 2026

Anak Schumacher sertai IndyCar 2026

Washington: Mick Schumacher, anak kepada juara dunia Formula Satu (F1) tujuh kali Michael Schumacher akan bersaing sepenuh musim IndyCar 2026 bersama pasukan Rahal Letterman Lanigan Racing (RLL), umum pasukan itu, semalam.

Pelumba Jerman berusia 26 tahun itu membuat 43 permulaan F1 pada musim 2021 dan 2022 bersama Haas dengan keputusan terbaik di tempat keenam, dan beraksi dalam Kejohanan EnduranceDunia (WEC) untuk Alpine pada 2024 dan 2025.

Schumacher akan memandu kereta Honda bernombor 47 untuk RLL, nombor yang mempunyai kaitan dengan keluarganya. Dia akan bergandingan dengan pelumba Amerika Syarikat, Graham Rahal, serta Rookie Terbaik IndyCar 2025, Louis Foster dari Britain, selepas menjalani ujian IndyCar bulan lalu.

“Saya gembira mengesahkan saya akan bersaing dalam Siri IndyCar tahun depan,” kata Schumacher.

“Dengan pengalaman dalam F1 dan perlumbaan ketahanan, serta penyertaan dalam pelbagai siri perlumbaan sebelum ini, saya percaya dapat membawa perspektif dan pengetahuan yang boleh membantu kerjasama hebat. RLL membuat persediaan sangat baik semasa sesi ujian, dan saya yakin kami boleh bina sesuatu yang kuat bersama.”

Menurutnya, perbezaan antara perlumbaan roda terbuka di Amerika Syarikat dan F1 menjadi tarikan utama.

“Saya terus tertarik dengan kereta itu dan gaya perlumbaan Amerika yang lebih kepada perlumbaan tulen dan langsung. Itulah yang membuatkan saya benar-benar teruja,” katanya.

“Sudah tentu, saya ingin mencari pengalaman baru dan sentiasa mahu berkembang. Ini satu perjalanan baru dan saya tak sabar menunggu musim bermula.”

Schumacher juga bakal menyertai perlumbaan oval pertamanya, dengan enam litar oval termasuk acara utama Indianapolis 500 pada 24 Mei.

Rakan pemilik pasukan, Bobby Rahal, berkata mereka teruja menyambut kehadiran Schumacher. “Kami benar-benar gembira dia memilih untuk bersama kami dan tidak sabar untuk memulakan kerja,” katanya.

Musim IndyCar 2026 akan bermula 1 Mac di St. Petersburg, Florida.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top