am@hmetro.com.my
Batu Pahat: Seorang pekerja kontrak yang baru beberapa minit selesai membayar denda RM2,000 atas kesalahan merosakkan kenderaan dengan besi ditahan semula untuk didakwa di Mahkamah Majistret Muar dalam masa terdekat.
Tertuduh, Mohd Hafizulaily Basrom, 37, dikenakan hukuman itu oleh Mahkamah Majistret, di sini, hari ini, sebelum dibawa ke Muar bagi pertuduhan kes menghalang penjawat awam jalankan tugas ketika terbabit dalam kejadian curi kabel.
Majistret Nurasidah A Rahman turut memerintah tertuduh dipenjara 12 bulan jika gagal membayar denda dikenakan terhadapnya.
Mengikut pertuduhan, bapa kepada tiga anak itu didakwa sengaja melakukan khianat dengan merosakkan kereta milik lelaki berusia 37 tahun menggunakan sebatang besi.
Kesalahan itu dilakukan di persimpangan Jalan Yong Peng-Ayer Hitam pada jam 8.30 malam, 2 Ogos lalu dan dia didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya.
Berdasarkan fakta kes, mangsa didatangi oleh tertuduh ketika berada di persimpangan jalan terbabit sebelum lelaki itu mengambil besi dan merosakkan keretanya.
Akibat kejadian itu, kereta mangsa mengalami kerosakan sehingga terpaksa menanggung kerugian RM600.
Berikutan kejadian itu, mangsa membuat laporan di Balai Polis Yong Peng, 2 Ogos lalu.
Bagaimanapun selepas kejadian itu, tertuduh menghilangkan diri namun berjaya ditahan pada jam 10.50 malam, Ahad lalu.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Firdaus Ruslan manakala tertuduh diwakili peguam, Tan Song Yan dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




