Nur Aishah buru pingat, catatan peribadi terbaik di Sukan Sea Thailand

Nur Aishah buru pingat, catatan peribadi terbaik di Sukan Sea Thailand

aida_adilah@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pelari 100 meter (m) negara, Nur Aishah Rofina Aling tidak sabar untuk beraksi pada Sukan Sea Thailand, Disember depan selepas terpilih beraksi dalam acara kegemarannya itu.

Nur Aishah berkata, persiapannya setakat ini berjalan lancar di bawah program latihan jurulatih dengan memberi penekanan serta fokus kepada konsistensi dan pembaikan teknik.

“Untuk persiapan Sukan Sea setakat ini bagus dan saya teruskan latihan mengikut perancangan jurulatih.

“Macam biasa, saya hanya berlatih sahajalah dan memberi fokus memperbaiki kelemahan, sekali gus harap dapat catatan peribadi terbaik lagi dan bawa pulang pingat untuk Malaysia, Insya-Allah,” katanya.

Catatan terbaik Nur Aishah dalam 100m tahun ini dicatatkan ketika kejohanan Innotex, baru-baru ini, 11.76 saat (s), sekali gus menjadi rekod terbaik peribadi.

Catatan itu menghampiri masa dicatat ratu pecut negara yang juga pemegang rekod kebangsaan, Zaidatul Husniah Zulkifli, yang merekodkan 11.72s ketika Terbuka Malaysia tahun ini.

“Kalau ikut kedudukan, memang adik (Husniah) lagi laju, tapi perbezaannya tidak jauh.

“Tahun ini saya berada di nombor dua dalam ranking domestik,” jelasnya.

Nur Aishah dijangka mengambil bahagian dalam acara 100m dan 4x100m, acara utama yang menjadi tumpuan kontinjen Malaysia.

Selain Aishah, kuartet 4x100m dijangka akan dibarisi Shereen Samsom Vallabouy, Nur Afrina Batrisyia Mohd Rizal, Nurul Wardatul Huwaida Mohd Hamka dan Husniah.

Beliau mengakui persaingan Sukan Sea kali ini amat sengit, khususnya dari pelari negara jiran seperti Singapura, Vietnam dan tuan rumah, Thailand.

Bagi Nur Aishah, pengalaman kedua menyertai Sukan Sea selepas Phnom Penh, Kemboja, memberikan motivasi tambahan untuk menghadapi cabaran di Thailand dan menamatkan musim dengan keputusan membanggakan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top