mohamadridzuan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Impian pelakon veteran yang juga pelawak, Ebby Yus mahu memiliki rumah baharu tidak kesampaian apabila mendakwa menjadi mangsa penipuan kontraktor pembinaan.
Ebby atau nama sebenarnya Muhammad Yunus Abdul Rashid, 60, berkata dia membeli tanah di Klang untuk mendirikan kediaman bagi menggantikan rumahnya di Sungai Serai, Hulu Langat yang musnah akibat banjir besar pada 2021.
“Ceritanya, saya beli tanah kat sana (Klang) dan lantik satu kontraktor buat rumah. Dia kata, bagi dia harga banyak ini, rumah dia buat sampai siap. Jadi saya pun bayar seperti yang dipersetujui.
“Saya bayar, bayar untuk kali pertama, bayar kali kedua dan bayar kali ketiga. Selepas itu dia minta dan minta lagi duit. Dah habislah duit saya.
“Contohnya kalau RM100,000 saya bagi, tapi rumah tak siap-siap. Dah lama dia tinggalkan macam itu. Saya dah tawar hati. Saya juallah rumah dengan tanah itu murah-murah sahaja,” katanya kepada Harian Metro.
Ebby berkata, dia mengambil keputusan terbabit kerana terlalu marah apabila melihat muka kontraktor terbabit serta tempat itu.
“Saya dicadangkan oleh seorang kawan untuk ambil kontraktor ini tapi dia pun tak tahu perangai kawan itu macam begitu.
“Kini saya pun dah tawar hati, jadi saya fikir tak apalah. Dia beritahu sudah habis modal, tak cukup duit. Itu saja ayat dia keluar,” katanya.
Terdahulu, Ebby kerugian RM200,000 selepas rumahnya yang tinggal 10 peratus untuk disiapkan di Sungai Serai dihanyutkan arus deras dalam kejadian banjir besar pada 2021.
© New Straits Times Press (M) Bhd



