Majlis Media Malaysia pandang serius insiden Haresh Deol

Majlis Media Malaysia pandang serius insiden Haresh Deol

razis@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Majlis Media Malaysia (MMM) menyifatkan serangan ke atas wartawan sukan senior yang juga pengasas TwentyTwo13, Haresh Deol sebagai menimbulkan anggapan bahawa ia insiden dirancang.

Memandang serius insiden itu, MMM dalam kenyataan berkata, tindakan individu ketiga yang merakam insiden juga mengundang tanggapan yang serangan bukan secara rawak.

“MMM percaya pihak berkuasa akan menjalankan siasatan sewajarnya, secara adil serta profesional.

“Orang ramai harus mengelakkan spekulasi yang tidak perlu sementara menunggu hasil siasatan sedemikian,” katanya.

MMM turut menzahirkan kebimbangan mendalam terhadap sebarang bentuk keganasan atau intimidasi terhadap petugas media.

“Tindakan sedemikian, tanpa mengira motif, mencetuskan implikasi lebih luas terhadap kebebasan media dan kemampuan wartawan menjalankan tugas secara bebas, selamat dan beretika,” katanya.

Sehubungan itu, MMM menekankan beberapa perkara penting iaitu keselamatan petugas media adalah asas kepada kewujudan ekosistem media yang bebas dan bertanggungjawab.

Badan itu menggesa semua pihak menghormati ruang kerja wartawan serta mengelakkan tindakan yang boleh menjejaskan keselamatan mereka.

“Insiden yang menghalang tugas kewartawanan mempunyai implikasi terhadap kepentingan awam, kerana ia menjejaskan penyampaian maklumat yang tepat dan bebas tekanan kepada masyarakat,” katanya

MMM sebagai badan kawal selia kendiri industri media berkata, pihaknya komited untuk terus mempromosikan standard keselamatan, profesionalisme dan integriti dalam sektor media.

“Kami turut bersolidariti dengan Haresh Deol serta seluruh komuniti wartawan yang terus berkhidmat demi kebenaran dan kepentingan rakyat,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan Haresh Deol yang dikenali sebagai wartawan sukan senior yang prolifik, sering menulis laporan berani serta mendedahkan isu-isu berkaitan pentadbiran sukan tanah air cedera selepas diserang dua lelaki bermotosikal dalam satu kejadian di kawasan parkir di Bangsar, petang tadi.

Dalam insiden kira-kira jam 3.30 petang itu, Haresh dikatakan baru selesai menikmati makan tengah hari dan sedang menuju ke keretanya sebelum dihampiri dua suspek yang kemudian memukulnya bertubi-tubi.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top