Bos Ferrari mohon Hamilton bertenang

Bos Ferrari mohon Hamilton bertenang

London: Lewis Hamilton dinasihatkan supaya bertenang oleh prinsipal pasukan Ferrari, Fred Vasseur, susulan kenyataannya selepas Grand Prix (GP) Las Vegas.

Musim sulung Hamilton bersama Ferrari terus mengecewakan di Las Vegas, sekali gus membawa kepada luahan kecewa daripada juara dunia tujuh kali ini selepas perlumbaan.

Hamilton meraih petak tercorot yang pertama dalam karier F1 selama 17 tahun, sebelum bangkit menamatkan perlumbaan di tempat ke-10 dan kemudian dinaikkan ke tempat kelapan selepas kedua-dua pemandu McLaren menerima hukuman.

Dalam temu bual bersama Sky Sports F1, Hamilton yang kelihatan sangat murung berkata: “Saya rasa sangat teruk. Ini musim paling buruk saya. Tak kira berapa banyak saya cuba, semuanya makin teruk.”

Dalam wawancara berasingan bersama BBC Radio 5 Live, Hamilton berkata tidak ada apa-apa yang positif dapat diambil daripada perlumbaan itu.

Kenyataan terbaharunya hadir selepas pemandu Britain berusia 40 tahun itu menyifatkan tahun pertama bersama Ferrari sebagai ‘mimpi ngeri’ selepas tersingkir di GP Sao Paulo dua minggu lalu.

Vasseur bagaimanapun meredakan kebimbangan terhadap komen Hamilton itu dan menegaskan ia diluahkan dalam keadaan emosi sejurus tamat perlumbaan.

“Saya faham reaksi Lewis sejurus selepas perlumbaan. Tapi kami kena tenang, berbincang dan fokus pada dua perlumbaan terakhir kerana dalam dua perlumbaan itu, kami akan kembali bangkit.

“Perlu diingat, Lewis menunjukkan prestasi baik dalam FP1 dan FP2 serta mempunyai kepantasan. Bermula dari P20 memang bukan permulaan yang bagus,” kata Vasseur.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top