'Saya mahukan jentera boleh menang' – Quartararo

'Saya mahukan jentera boleh menang' – Quartararo

Paris: Fabio Quartararo tidak lagi dapat menyembunyikan harapan tingginya terhadap jentera baharu Yamaha V4 untuk MotoGP musim depan.

“Saya perlukan motosikal yang laju. Saya perlu jentera yang mampu menang dan boleh saya gunakan untuk bersaing dalam kelompok tiga atau lima terbaik setiap perlumbaan pecut dan perlumbaan utama.

“Dari pihak saya, ia memang jelas. Memang agar sukar… tapi itulah yang saya perlukan. Saya sudah bertahun-tahun bergelut dan sekarang saya mahukan motosikal yang boleh menang,” kata juara dunia 2021 itu menjelang penghujung musim terakhir Yamaha menggunakan enjin Inline M1.

Selepas gagal merasai kemajuan ketara ketika menguji prototaip V4 di Misano, Quartararo mencatat masa 0.554s daripada masa terpantas, sekali gus hanya menamatkan sesi di tempat ke-15 ketika ujian di Valencia.

Namun perubahan besar dijangka berlaku semasa sesi ujian pembukaan 2026 di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) selepas pelumba ujian, Augusto Fernandez menyatakan Yamaha bakal memperkenalkan V4 versi ‘sebenar’.

“Untuk Valencia, saya tahu motosikal itu belum sepenuhnya siap. Februari nanti di Sepang, jentera itu hampir sama seperti yang akan kami gunakan dalam perlumbaan.

“Saya rasa sangat penting untuk dapatkan apa yang saya mahu pada ujian di Sepang nanti,” kata Quartararo.

Ujian Shakedown Sepang, yang boleh disertai pelumba rasmi Yamaha, akan berlangsung dari 29 hingga 31 Januari.

Ujian rasmi untuk semua pelumba MotoGP pula dijadualkan pada 3 hingga 5 Februari.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top