hafidzul@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Keluarga bekas pengawal keselamatan berusia 83 tahun resah apabila warga emas itu hilang sejak tiga hari lalu selepas keluar dari rumah di Apartment Putra Ria, Jalan Bangsar, di sini.
Faisal Lotpi Mohamed Bhari dipercayai keluar rumah antara jam 1 tengah hari hingga 7 malam.
Anak perempuannya, Rafidah Faisal Lotpi, 39, berkata, bapanya keluar rumah ketika dia tiada.
“Saya tinggal berdua bersama bapa dan menjaga dia sejak kematian ibu beberapa bulan lalu. Bapa mempunyai penyakit pelupa. Ini kejadian pertama dia hilang dan tidak pulang ke rumah lebih daripada satu hari.
“Saya cukup bimbang dengan keadaannya dan membuat laporan di Balai Polis Pantai, Jalan Pantai Baharu,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.
Dia turut membuat hebahan mengenai kehilangan bapanya di media sosial selain meminta bantuan jiran dan saudara mara untuk mengesan warga emas itu.
“Saya mohon orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat menghubungi saya.
“Saya bimbang perkara tidak diingini berlaku,” katanya.
Orang ramai yang menemui atau mempunyai maklumat mengenai Faisal Lotpi boleh menghubunginya di talian 012-239 3392.
© New Straits Times Press (M) Bhd




