mohdsyazwan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pertahanan Harimau Malaya Bawah 23 (B-23), Ubaidullah Shamsul Fazili, enggan lagi menjadi ‘pelancong’ di pentas Sukan Sea apabila bertekad membawa pulang pingat pada edisi di Thailand bulan depan.
Lebih bermakna, kempen kali ini bakal menjadi penampilan terakhirnya bersama skuad B-23, sekali gus menjadikan misi memburu pingat sebagai hadiah paling bernilai sebelum beliau menutup buku perjalanan di peringkat umur itu.
Ubaidullah mengakui pengalaman lalu meninggalkan kekecewaan yang mendalam, terutama apabila skuad negara terkandas di peringkat kumpulan pada edisi sebelumnya. Namun, kekecewaan itulah yang mencetuskan tekad baharunya.
“Secara peribadi saya mempunyai sasaran iaitu sekurang-kurangnya membawa pulang pingat untuk negara.
“Sukan Sea pertama saya beraksi pun berakhir di tempat keempat. Insya-Allah kalau ada rezeki dapat satu pingat kerana itu adalah impian saya,” katanya, ketika ditemui pada hari pertama kem latihan skuad B-23, di Padang Latihan Sime Darby, Bukit Jelutong, semalam.
Sebagai pemain yang pernah merasai pahit getir temasya itu, Ubaidullah melihat peluang kali ini sebagai misi wajib bukan lagi pilihan.
“Sudah tentu setiap kejohanan ada cabarannya tapi bola sepak kena tahu bagaimana. Vietnam mungkin kuat tapi dalam tempoh 90 minit apa saja boleh berlaku.
“Laos pula tidak boleh ambil mudah kerana mereka guna pasukan yang sama untuk aksi kelayakan Piala Asia baru-baru ini. Fokus sekarang adalah buat yang terbaik,” katanya yang juga tonggak pertahanan Terengganu FC.
Mengikut rekod, Malaysia diundi dalam Kumpulan B bersama Vietnam dan Laos. Hanya tiga juara kumpulan dan satu naib juara terbaik layak ke separuh akhir.
Pada edisi Sukan Sea di Kemboja 2023 menyaksikan skuad B-23 negara terkandas di peringkat kumpulan selepas menduduki tangga ketiga kumpulan B.
© New Straits Times Press (M) Bhd




