syafil.syazwan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pelakon veteran Mubarak Majid menggambarkan Allahyarham Dharma Harun Al Rashid sebagai seorang sahabat yang baik dan sentiasa menepati masa.
Mubarak, 69, berkata Dharma juga seorang yang sangat berdisiplin.
“Dia seorang yang baik. Tak adalah perkara pelik-pelik atau perangai yang bukan-bukan. Memang seorang yang baik.
“Dia juga menepati masa. Kalau berjanji, memang tepat waktunya. Kalau nak jumpa dia, berbual atau berbincang apa-apa pun, dia memang seorang yang berdisiplin,” katanya kepada Harian Metro.
Pada masa sama, Mubarak meluahkan rasa terkilan kerana tidak sempat untuk menziarahi sahabatnya ketika sedang sakit.
“Saya tak sempat melawat. Itu antara perkara yang saya rasa kesal. Bila tahu dia sakit, kemudian dapat tahu Datuk A Aida tawarkan dia berlakon, saya ingat dia dah sihat.
“Walaupun tak sempat melawat, memang ada perancangan nak melawat arwah. Tapi biasalah, tak sempat. Kadang-kadang ada sahaja benda menghalang.
“Tahu-tahu saja dengar dia sudah meninggal, jadi hari ini saya luangkan masa untuk ziarah,” katanya.
Mengenali Dharma menerusi lakonannya dalam filem Adik Manja, Mubarak menggambarkan sosok itu sebagai pelakon yang berkualiti.
“Dari filem Adik Manja, saya tengok lakonan dia dalam filem itu menjadi. Jadi saya rasa dia seorang pelakon yang bagus.
“Saya tak pernah pun berlakon dalam mana-mana drama bersama arwah, tapi kami memang berkawan.
“Kalau ada masa dan tempat kami terserempak, kami akan berbual dengan kawan-kawan lain, sembang-sembang, bertanya mengenai perkembangan dunia lakonan,” katanya.
Bagaimanapun, Mubarak pernah berlakon bersama anak lelaki Dharma, Muhammad Al Syafiq Mohamad Azman dalam satu filem pendek.
“Dia mewarisi bakat arwah bapanya juga. Cuma lakonan ini kita kena tambah, kena cari. Kena gali lagi ilmu. Kalau tak bergaul, tak mencari, kita takkan dapat benda itu. Untuk terjemahkan watak, kita kena ada ilmu, pengalaman, kena kaji.
“Macam mana nak keluarkan satu-satu watak melalui dialog pun kena belajar,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




