am@hmetro.com.my
Bera: Dua lelaki ditahan dalam dua serbuan berasingan di daerah ini selepas polis merampas hampir 1.8 kilogram ganja serta ratusan pil yaba dan erimin 5, dengan keseluruhan nilai sitaan dianggarkan RM53,947.40.
Ketua Polis Daerah Bera Superintendan Zulkiflee Nazir berkata, serbuan pertama dilakukan hari ini di sebuah rumah di Felda Purun, sebelum polis menahan seorang lelaki berusia 48 tahun yang bekerja sebagai tukang pendawai.
“Pemeriksaan menemukan satu ketulan mampat ganja dibalut pita pelekat hitam seberat 659.14 gram. Ujian saringan awal air kencing mendapati suspek positif THC,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, serbuan kedua di Kampung Bohor Baru pula membawa kepada tangkapan seorang lelaki berusia 42 tahun yang bekerja kampung.
“Polis menemukan satu beg plastik bercorak bunga raya mengandungi ketulan mampat ganja seberat 1,057.64 gram.
“Pemeriksaan lanjut ke atas beg pinggang yang dipakai suspek menemukan 536 biji pil yaba (57.58 gram), heroin 23.22 gram, 70 pil erimin 5 (19.59 gram), ganja 18.66 gram serta syabu 4 gram,” katanya.
Zulkiflee berkata, suspek kedua turut didapati positif methamphetamine hasil ujian air kencing.
Beliau berkata, pihak narkotik turut menyita sebuah kenderaan milik suspek bernilai RM30,000 melalui tindakan mengikut Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988.
“Semakan mendapati kedua-dua suspek mempunyai rekod lampau jenayah narkotik. Mereka direman tujuh hari sehingga 2 Disember 2025,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup serta tidak kurang 12 sebatan, manakala kes positif dadah disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) akta sama.
© New Straits Times Press (M) Bhd




