London: Newcastle United mendakwa polis Perancis ‘memukul secara membabi buta’ beberapa penyokong mereka serta menggunakan penyembur lada, belantan dan perisai ketika mengiringi peminat keluar dari stadium selepas kekalahan 1-2 kepada Olympique Marseille dalam aksi Liga Juara-Juara (UCL).
Kelab Liga Perdana Inggeris itu berkata mereka akan membuat aduan rasmi kepada Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA), kelab tuan rumah dan polis Perancis berhubung tindakan ‘tidak perlu dan tidak seimbang’ yang dikenakan ke atas penyokong mereka.
“Perancangan dibuat untuk menggerakkan 500 penyokong pada satu masa… namun sebaik kumpulan pertama dilepaskan, polis mula menggunakan kekerasan yang tidak perlu dan tidak seimbang untuk menghalang baki penyokong kami daripada bergerak,” kata Newcastle dalam kenyataan.
“Tindakan itu termasuk penggunaan semburan lada, belantan dan perisai, dengan ramai penyokong dipukul secara membuta tuli oleh polis.
“Ramai penyokong kelihatan panik, terutama di kawasan atas tempat duduk penyokong pelawat, apabila situasi berhimpit mula berlaku.”
Tiada komen segera daripada polis Perancis, Olympique Marseille atau UEFA ketika dihubungi Reuters.
Newcastle berkata, penyokong yang keluar dari stadium meluahkan rasa marah dan kecewa kepada wakil kelab.
“Kami akan meminta UEFA, Olympique Marseille dan pihak berkuasa tempatan menjalankan siasatan rasmi supaya insiden seperti ini tidak berulang,” kata kelab itu.
“Kami juga bekerjasama dengan United Kingdom Football Policing Unit (UKFPU) bagi mengumpul bukti untuk penyokong kami.”
Newcastle berada di tangga ke-11 UCL dengan sembilan mata selepas lima perlawanan, dan akan menentang Bayer Leverkusen pada 10 Disember.
© New Straits Times Press (M) Bhd




