Shamsul Iskandar hadir ke Ibu Pejabat SPRM

Shamsul Iskandar hadir ke Ibu Pejabat SPRM

safeek@bh.com.my

Putrajaya: Bekas Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin, hadir di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini, tengah hari tadi.

Shamsul Iskandar hadir sekitar 12 tengah hari, bagi membantu siasatan berkaitan dakwaan pemberian rasuah oleh seorang ahli perniagaan dikenali sebagai Albert Tei.

Sumber berkata, kehadiran Shamsul Iskandar, adalah sebahagian daripada proses pengumpulan keterangan yang sedang dijalankan SPRM susulan pendedahan dibuat sebuah portal berita, baru-baru ini.

Media sebelum ini melaporkan, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, mengesahkan pihaknya telah membuka kertas siasatan berhubung dakwaan itu.

Beliau berkata, selain Shamsul dan Albert, seorang wanita yang dikaitkan dalam klip video tular yang memaparkan perbualan bersama ahli perniagaan berkenaan, turut hadir memberi keterangan pada jam 2 petang semalam.

Setakat jam 2.30 petang, pihak media masih menunggu sebarang perkembangan terkini berhubung siasatan terhadap Shamsul Iskandar.

Selasa lalu, Shamsul Iskandar mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri.

SPRM sebelum ini menegaskan bahawa siasatan sedang berjalan dan semua individu berkaitan akan dipanggil bagi melengkapkan proses mendapatkan bukti yang diperlukan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top