bhnews@bh.com.my
Putrajaya: Kabinet hari ini tidak membincangkan mengenai isu ahli perniagaan, Albert Tei yang didakwa ditahan secara tidak berperlembagaan, kata Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil.
Beliau sebaliknya berkata, perkara itu seharusnya dirujuk kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
“Boleh rujuk dengan pihak SPRM. Kami tidak ada bincang perkara ini dalam mesyuarat (Kabinet) pada hari ini,” katanya pada sidang media pasca mesyuarat Jemaah Menteri di sini, hari ini.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini menyerbu kediaman ahli perniagaan, Albert Tei, menurut peguamnya, Zaid Malek.
Zaid dalam satu kenyataan mendakwa, dia tidak dibenarkan bertemu dengan Albert Tei oleh pegawai SPRM dan polis yang berada di kediaman ahli perniagaan itu.
Zaid dilaporkan berkata, hak anak guamnya untuk mendapatkan khidmat peguam dinafikan dan ia adalah pelanggaran hak perlembagaan Albert Tei terhadap proses undang-undang yang adil.
Beliau turut berkongsi sebuah video yang memaparkan Albert Tei diiringi oleh individu bersenjata yang memakai penutup muka (balaclava) dan ves SPRM.
Beliau adalah antara tiga individu yang dipanggil SPRM untuk membantu siasatan berhubung klip video yang memaparkan perbualannya dengan seorang wanita dikenali Sofia Rini Buyong.
Rini turut menjalani rakaman kenyataannya oleh SPRM. Dia tiba di ibu pejabat SPRM di Putrajaya petang semalam.
Seorang lagi individu yang dijadual untuk dirakam kenyataan hari ini ialah Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin, bekas setiausaha politik kanan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
© New Straits Times Press (M) Bhd




