am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Media Prima Television Networks menutup tahun kewangan 2025 (FY25) dengan pencapaian memberangsangkan merentasi TV3, 8TV, unit pengedaran filem dan WOWSHOP, selari dengan strategi kandungan yang berjaya mengekalkan kedudukan kumpulan sebagai peneraju pasaran media tempatan.
Pengurus Besar Kandungan TV3, Marlia Zul Amran, berkata perkembangan itu membuktikan keyakinan berterusan penonton terhadap saluran berkenaan.
“TV3 menutup FY25 dengan 47.3 peratus perkongsian penonton Melayu, naik daripada 42.8 peratus tahun sebelumnya.
“Selain program teras, usaha meneroka format baharu turut membuahkan hasil apabila drama vertikal pertama iaitu Benci Jadi Cinta, mencapai lebih 4.6 juta tontonan, manakala Keluarga Antara Insan meraih lebih 3.1 juta tontonan.
“Pada Disember 2025, kami akan memperkenalkan drama mikro baharu, Separuh Nafas Cinta menerusi aplikasi TikTok Drama Sangat bagi mendekati kelompok audiens lebih muda,” katanya dalam kenyataan.
TV3 meneruskan dominasi dalam segmen televisyen percuma dengan peningkatan prestasi pada FY25, dipacu rangkaian program yang konsisten menarik perhatian penonton.
Antara yang kekal mencuri tumpuan ialah Buletin Utama, Anugerah Juara Lagu, Famili Duo, Anugerah Bintang Popular Berita Harian serta kebangkitan semula format Calpis Soda One in a Million.
Saluran itu turut memperkukuh kehadiran merentas platform dengan memperluas penggunaan format digital.
Penerbitan kandungan khusus belia juga menunjukkan kesan positif apabila Calpis Soda One in a Million berjaya mencatat capaian 4.5 juta penonton, di samping meraih 2 bilion impresi media sosial setiap minggu dan lebih 100 juta tontonan video sosial dalam tempoh lapan minggu.
Strategi pelbagai skrin turut diperkukuh melalui penyiaran Anugerah Melodi Terhangat (AMT) serentak di TV, platform OTT Tonton dan TikTok.
Inisiatif kreatif seperti Cat Fashion Week yang diperkenalkan pada Julai lalu turut mencipta fenomena tersendiri dengan 515 juta capaian media sosial serta 3.2 juta penonton TV.
Unit pengedaran filem di bawah Primeworks Studios turut menunjukkan prestasi kukuh, sekali gus memperluas kehadiran Malaysia dalam pasaran serantau.
Ketua Pegawai Operasi 8TV, Pengedaran Filem dan Kandungan, Media Prima Television Networks, Kevin Foo, berkata dua filem tempatan mencatat kejayaan luar biasa sepanjang tahun.
“Ejen Ali The Movie 2 yang diterbitkan bersama WAU Animation mengutip lebih RM63 juta, manakala kami turut mengurus pengedarannya ke pasaran Indonesia, Brunei, Singapura, Kemboja dan Thailand.
“Filem aksi Blood Brothers: Bara Naga bersama Skop Production pula mencatat lebih RM78 juta di box office,” katanya.
Kedua-dua naskhah itu meraih pengiktirafan tempatan dan serantau termasuk di Festival Filem Malaysia ke-34 (FFM34) dan Asian Academy Creative Awards (AACA), sekali gus membuktikan potensi besar Harta Intelek (IP) tempatan apabila disokong promosi menyeluruh merentas platform
Primeworks Studios turut memperkukuh langkah serantau dengan penawaran IP dikenali seperti filem Indonesia Sore: Istri Dari Masa Depan dan Rangga & Cinta, selain membawa masuk filem antarabangsa seperti Kokuho dari Jepun dan The Voice of Hind Rajab. Projek IP baharu tempatan turut berada dalam peringkat pembangunan.
8TV pula mengekalkan kedudukannya sebagai saluran pilihan penonton berbahasa Cina dengan program muzik, drama dan kandungan budaya, termasuk Family Singing Show dan My Star Family.
Sambutan ulang tahun ke-20 turut diperkuatkan dengan penganjuran 8TV Starfluencer Awards 2025 yang menghimpunkan lebih 100 selebriti untuk mengiktiraf bakat dalam pelbagai bidang kandungan.
Saluran itu juga meneruskan usaha tanggungjawab sosial korporat melalui Jasmine Project Love yang berjaya mengumpul hampir RM200,000 bagi membantu komuniti memerlukan.
Selain itu, WOWSHOP mengekalkan kedudukan sebagai pemacu pendapatan utama Media Prima dengan pertumbuhan 11 peratus dari tahun ke tahun.
Segmen kecantikan, makanan kesihatan dan suplemen mencatat peningkatan jualan 105 peratus serta menyumbang 42 peratus daripada keseluruhan prestasi jualan. Inisiatif ulang tahun ke-9 berjaya menjana lebih RM10 juta.
Pelancaran aplikasi WOWSHOP MY turut mengukuhkan strategi digital dan mudah alih kumpulan, manakala kemenangan Anugerah Emas “People’s Choice – e-Commerce” di Putra Brand Awards 2024 mengukuhkan keyakinan pengguna.
© New Straits Times Press (M) Bhd




