am@hmetro.com.my
Parit Buntar: Sebanyak 21 projek merangkumi tujuh projek fizikal dan 14 program berjaya dilaksanakan bagi manfaat komuniti penduduk Kampung Kedah, di sini sepanjang tahun ini susulan pemilihan kampung itu sebagai Kampung Angkat MADANI (KAM) Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Tahun 2025.
Ketua Pengarah JKM, Datuk Che Murad Sayang Ramjan berkata kedua-dua skop fizikal dan skop bukan fizikal itu adalah bagi pelaksanaan projek berteraskan rakyat terutamanya dalam konteks melengkapkan kemudahan asas di komuniti terbabit.
Menurutnya, skop fizikal projek yang dipilih dengan teliti hasil kerjasama dan sokongan daripada Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Kerian, antaranya adalah menaiktaraf Dewan PDT Taman Seri Tenggara, naik taraf mini depoh simpanan barang bencana, pembinaan gazebo di sekolah.
Selain itu adalah kerja menaiktaraf dataran serta pagar di Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE), naiktaraf gelanggang sepak takraw, pembinaan taman rekreasi mini serta monumen, dan baikpulih tandas mesra orang kurang upaya (OKU) serta tangki septik di surau.
Che Murad Sayang berkata, kehadiran JKM menjadikan Kampung Kedah selaku KAM bukan sahaja hadir bagi menyantuni keperluan kebajikan tetapi turut berperanan menggerakkan perubahan sosial, meningkatkan kompetensi keluarga, serta memupuk semangat kesukarelawanan dalam kalangan ahli komuniti.
Menurutnya, bagi program sosial menerusi KAM JKM, ia meliputi program berbentuk psikologi komuniti, advokasi kanak-kanak, sokongan kepada warga emas dan OKU serta program intergenerasi bagi belia.
“Semua projek fizikal yang ditambahbaik sudah dapat melengkapkan kemudahan asas kampung untuk keperluan penduduk setempat bagi melakukan aktiviti riadah, sosial dan kerohanian.
“Bagi program sosial, ia memberi ruang kepada masyarakat untuk meningkatkan kesejahteraan mental, memperkukuh sokongan sosial dan membina komuniti yang lebih prihatin dan penyayang.
“Diharapkan melalui inisiatif kolektif ini terbit perubahan positif dari segi semangat kerjasama antara penduduk, peningkatan kesedaran mengenai isu sosial serta hubungan yang semakin erat antara agensi kerajaan dan masyarakat,” katanya sempena Majlis Perasmian Penutup Program Kampung Angkat MADANI JKM Tahun 2025 di Kampung Kedah, di sini, baru-baru ini.
Kampung Kedah diluluskan sebagai Kampung Angkat MADANI JKM pada 25 Februari 2025 di Dataran Kerian, di sini dengan peruntukan RM1 juta yang disalurkan oleh Kementerian Kewangan.
Sebanyak 14 program sosial dianjurkan di Kampung Kedah selaku KAM JKM, antaranya program Advokasi Kasih Kanak-Kanak di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Perak; program Cakna OKU di Dewan Kerian Permai; dan program “Aroh Ganal Bedarau” Citra Minda Integenerasi yang dikhususkan untuk warga emas serta belia.
Selain itu, kata Che Murad Sayang ia turut membabitkan program bersama pelatih Perintah Khidmat Masyarakat di Masjid Hijau dan program gotong royong bersama sukarelawan.
“Kalau dilihat dari segi 21 program dan aktiviti yang kita buat yang bukan membabitkan projek fizikal ini, kita memberi pendedahan dan advokasi seperti berkaitan hak kanak-kanak seperti sekiranya berlaku pengabaian, penderaan dan sebagainya maka bagaimanakah mereka boleh menyalurkan aduan mereka.
“Program serta aktiviti bersama warga emas pula selain ada satu bangunan baharu yang kita bina kita juga berharap supaya golongan ini dapat melalui kehidupan yang sihat, sejajar dengan kehendak kerajaan dalam menuju negara menua pada 2030.
“Dengan golongan OKU pula, kita berharap supaya mereka ini diberikan peluang kerjaya selain program berkaitan psikologi buat mereka. Begitu juga sekiranya mangsa-mangsa keganasan rumah tangga dan sebagainya kita berikan juga bantuan berbentuk psikologi,” katanya.
Katanya lagi, program KAM itu juga turut membabitkan kerjasama intra agensi bersama pasukan keselamatan dan penyelamat termasuk polis, bomba, Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan sebagainya seperti melalui pelaksanaan latihan berkaitan simulasi banjir.
“Dan hari ini kita dapat tengok betapa banjir yang sedang berlaku maka kita buat juga latihan amal bersama polis, bomba, APM dan sebagainya, sebagai satu daripada 21 program yang bukan membabitkan projek fizikal sepanjang berlangsungnya KAM bagi JKM di Kampung Kedah ini,” katanya.
Katanya lagi, program KAM membabitkan komuniti kampung itu juga dilihat menjadi platform untuk mengukuhkan nilai perpaduan dan saling hormat menghormati di mana penduduk menunjukkan kesediaan untuk berganding bahu tanpa mengira latar belakang demi membangunkan kampung yang lebih sejahtera.
“Nilai-nilai ini amat penting dalam menghadapi cabaran sosial masa kini, termasuk kos sara hidup, masalah keluarga, keselamatan sosial, serta perubahan demografi masyarakat.
“JKM percaya bahawa komuniti yang bersatu dan berdaya tahan merupakan asas kepada pembangunan sosial negara yang lebih kukuh. Komuniti kampung bagaimanapun perlu meneruskan budaya penyertaan aktif, memelihara semangat kesukarelawanan dan meneruskan hubungan baik dengan agensi-agensi kerajaan.
“JKM akan terus komited menyokong pembangunan komuniti melalui bantuan profesional, program intervensi sosial dan sokongan teknikal,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




