am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Naib Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Sabah, Datuk Dr Aliakbar Gulasan menang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Karambunai yang menyaksikan saingan11 penjuru dalam Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) Sabah hari ini.
Menerusi kemenangan Pesuruhjaya PAS itu, ia sekali gus melakar SEA sejarah buat parti Islam itu apabila menang kali pertama di Sabah.
Dalam hantaran Facebook, Aliakbar berterima kasih Terima kasih yang tidak terhingga kepada seluruh pengundi N.16 Karambunai.
Menerusi hantaran di Facebook, beliau merakamkan penghargaan kepada pengundi yang memberikannya undi.
“Terima kasih yang tidak terhingga kepada seluruh pengundi N16 Karambunai.
“Terima kasih kerana memberikan undi kepada saya. Undi anda adalah bukti kepercayaan, pengorbanan masa dan rantai harapan anda kepada saya.
“Dengan rasa rendah hati, saya dan pasukan akan melakukan sedaya upaya kami dalam membina Karambunai yang lebih baik,” katanya dalam satu hantaran Facebook, malam ini.
DUN yang mempunyai 39,247 pengundi berdaftar sebelum ini dimenangi calon Barisan Nasional (BN) Datuk Yakub Khan pada PRN16 2020 yang turut bertanding PRN17.
Selain Yakub, DUN Karambunai turut ditandingi Mohd Yunus Ibrahim (PBK); Matkri Kassim (PKS); Azman Fathil (GAS); Datuk Arshad Idris (GRS); Ajis @ Hates Abdul (SPP); Datuk Stephen Teo (STARSABAH); Ahmad Jais Otong (WARISAN); Raynold Saikam Salinggou (PERPADUAN) dan Adis Jalie (PIS).
Aliakbar, 54, memiliki latar belakang akademik cemerlang dengan Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Geografi Bandar dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Sebelum ini, beliau Ahli DUN Lantikan bagi penggal 2020–2025, pernah memegang jawatan Pengerusi Kumpulan Medic Iman (KMI) Tawau Medical Centre (2025) serta Ahli Majlis Tertinggi Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) sejak 2023.
Beliau juga pernah berkhidmat sebagai Pensyarah Kanan di Universiti Malaysia Sabah (UMS) selama 24 tahun (1996–2020) dan memegang jawatan Pengerusi Lembaga Koko Malaysia (LKM) dari 2020 hingga 2021.
Dalam pada itu, Ketua Penerangan PAS Ahmad Fahdli Shaari, dalam hantaran Facebook memaklumkan, PAS malam ini menempa sejarah dengan kelahiran ‘anak sulung’ partinya dalam DUN Sabah apabila Aliakbar menang kerusi Karambunai.
Aliakbar mengalahkan 10 calon lain termasuk penyandang – calon dari BN, Yakub Khan, dengan majoriti kurang daripada 400 undi.
“Alhamdulillah, PAS melahirkan ‘anak sulung’ di Sabah. Karambunai dimenangi dengan majoriti 371,” tulisnya di Facebook.
Karambunai menjadi kerusi pertama dimenangi PN setakat ini.
Selain Aliakbar dan Yakub, kerusi DUN Karambunai itu turut cuba direbut calon parti lain termasuk WARISAN.
© New Straits Times Press (M) Bhd




