asyikin.mat@hmetro.com.my
Barah pankreas adalah satu daripada barah yang paling agresif dan mempunyai kadar kelangsungan hidup yang rendah berbanding jenis barah lain.
Menurut laporan ‘Globocan 2020’, barah pankreas berada dalam senarai 10 penyebab utama kematian akibat barah di dunia.
Di Malaysia, walaupun kesnya tidak setinggi barah payudara atau barah paru-paru, namun kadar kematian yang tinggi menjadikannya penyakit yang sangat membimbangkan.
v Pakar Perunding Gastroenterologi dan Hepatologi, Sunway Medical Centre Ipoh, Dr Khairul Najmi Muhammad Nawawi berkata, pankreas ialah organ kecil yang terletak di belakang perut.
Ia berfungsi menghasilkan enzim untuk membantu pencernaan dan hormon seperti insulin bagi mengawal paras gula dalam darah.
Menurut Dr Khairul Najmi, barah pankreas berlaku apabila sel di pankreas tumbuh secara tidak terkawal dan membentuk ketumbuhan.
“Masalah utama ialah, barah ini biasanya tidak menunjukkan gejala awal yang jelas.
“Gejala lazim seperti sakit perut, jaundis (penyakit kuning), hilang selera makan dan penurunan berat badan biasanya hanya muncul apabila penyakit sudah berada di tahap lewat.
“Ini sebab utama mengapa lebih 80 peratus pesakit hanya didiagnosis ketika barah sudah merebak,” katanya.
Dr Khairul Najmi berkata, di Malaysia, data berkaitan barah pankreas masih terhad, namun beban penyakit ini semakin meningkat.
“Kadar merokok dalam kalangan lelaki dewasa Malaysia masih tinggi iaitu hampir seorang daripada lima dewasa adalah perokok (NHMS 2019), sekali gus meningkatkan risiko penyakit berkaitan, termasuk barah pankreas.
“Ada beberapa sebab utama menjadikan barah pankreas sebagai ‘pembunuh senyap’.
“Pertama, kedudukan pankreas yang tersembunyi di belakang perut menyukarkan pemeriksaan fizikal.
“Kedua, gejala awal yang tidak spesifik seperti perut kembung, senak perut dan sakit belakang, sering disalah tafsir sebagai gastrik atau masalah biasa.
“Ketiga, tiada ujian saringan rutin untuk orang awam seperti mamogram (payudara) atau kolonoskopi (usus),” katanya.
Justeru, kata beliau, tumpuan besar perlu diberikan kepada pencegahan, terutama melalui pengawalan faktor risiko.
Dr Khairul Najmi berkata, berdasarkan kajian antarabangsa, merokok menyumbang kepada kira-kira 20 hingga 25 peratus kes barah pankreas.
“Individu merokok berdepan dua hingga tiga kali ganda risiko berbanding bukan perokok.
“Asap rokok mengandungi lebih 7,000 bahan kimia, termasuk ‘nitrosamines’ dan ‘polycyclic aromatic hydrocarbons’ (PAHs) yang terbukti karsinogenik.
“Bahan ini boleh masuk ke pankreas melalui darah dan merosakkan Asid Deoksiribonukleik (DNA) sel menyebabkan mutasi gen serta pertumbuhan sel tidak terkawal,” katanya.
Jelas Dr Khairul Najmi, kajian di Eropah (EPIC Study) mendapati, perokok lelaki berisiko 2.5 kali ganda mendapat barah pankreas, manakala wanita perokok hampir dua kali ganda risiko.
“Kajian di Amerika Syarikat menunjukkan, 10 hingga 20 peratus kes barah pankreas boleh dicegah sekiranya semua individu berhenti merokok.
“Risiko menurun selepas lima tahun berhenti merokok dan selepas 10 hingga 15 tahun, risiko kembali hampir sama seperti bukan perokok.
“Bukan perokok juga berisiko melalui asap rokok pasif. Pasangan dan anak-anak yang tinggal bersama perokok terdedah kepada bahan kimia berbahaya.
“Ini sekali gus meningkatkan risiko bukan sahaja barah pankreas, malah penyakit jantung, paru-paru dan sistem pernafasan,” katanya.
Tambah Dr Khairul Najmi, jika merokok digabungkan dengan pengambilan alkohol berlebihan, risikonya lebih berganda.
“Alkohol boleh menyebabkan ‘pankreatitis kronik’ (radang pankreas), manakala merokok mempercepatkan perubahan radang itu menjadi barah.
“Individu yang merokok dan minum alkohol berat mempunyai risiko empat hingga lima kali ganda lebih tinggi,” katanya.
Dr Khairul Najmi berkata, barah pankreas biasanya memerlukan rawatan seperti pembedahan besar (Whipple procedure), kemoterapi dan radioterapi.
Katanya lagi, namun kebanyakan pesakit hanya didiagnosis pada tahap lewat dengan kadar kelangsungan hidup singkat.
Akibatnya, kos rawatan menjadi sangat tinggi, seterusnya membebankan pesakit dan keluarga.
“Produktiviti masyarakat juga akan berkurangan kerana pesakit kebanyakannya berada dalam julat usia bekerja. Semestinya, sistem kesihatan awam turut akan menerima beban kos.
“Maka, sudah tentu mencegah melalui pengurangan tabiat merokok adalah lebih murah dan berkesan berbanding merawat,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




