am@hmetro.com.my
Alor Setar: Seramai 107 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dari Sekolah Menengah Sains (SMS) Tuanku Syed Putra, Perlis terpaksa dipindahkan ke pusat peperiksaan alternatif di Sekolah Berasrama Penuh Integrasi (SBPI) Kubang Pasu kerana banjir.
Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah berkata, semua calon akan menduduki peperiksaan di pusat itu bermula esok hingga 15 Disember ini.
Katanya, pemindahan bahan peperiksaan dari bilik kebal JPN Perlis ke bilik kebal Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tunku Bendahara turut dilakukan semalam dengan pemantauan ketat Lembaga Peperiksaan, JPN Kedah, JPN Perlis serta Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kubang Pasu.
“Timbalan Pengarah Lembaga Peperiksaan, Dr Habibah Mat Rejab turut hadir memastikan proses berjalan mengikut prosedur.
“Pelantikan petugas peperiksaan baharu juga dilaksanakan bagi memastikan kelancaran urusan di SBPI Kubang Pasu,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Sementara itu, JPN Kedah berkata dua pusat peperiksaan di Kedah Sekolah Menengah Agama (SMA) Darussaadah dan SMK Seri Gunung kembali beroperasi di lokasi asal selepas air surut dan cuaca kembali stabil.
Katanya, seramai 89 calon dari SMA Darussaadah dan 62 calon dari SMK Seri Gunung kembali ke sekolah masing-masing dan akan menyambung peperiksaan bermula esok.
“JPN Kedah menegaskan pemantauan rapi akan diteruskan bersama PPD, pihak keselamatan dan Lembaga Peperiksaan.
“JPN Kedah komited memastikan keselamatan dan kelancaran peperiksaan SPM menjadi keutamaan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




