faris.fuad@bh.com.my
KUALA LUMPUR: Polis menahan tujuh warga Nigeria, termasuk tiga wanita semalam dan kelmarin kerana disyaki terbabit 26 kes penipuan sindiket ‘parcel scam’ atau penipuan kiriman bungkusan membabitkan kerugian RM390,000.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Abd Khalid Othman, berkata kegiatan kumpulan berkenaan terbongkar hasil penahanan seorang suspek lelaki yang memandu sebuah Proton X70 ketika melalui sekatan jalan raya di Plaza Tol Putra Heights, Subang Jaya, jam 10 malam kelmarin.
Katanya, siasatan mendapati lelaki itu tidak mempunyai dokumen perjalanan sah dan terdapat tiga kad ATM pelbagai bank milik individu lain di dalam dompetnya.
“Hasil semakan mendapati satu kad itu ada kaitan dengan laporan polis dibuat di Bukit Puchong. Selepas suspek ditangkap, kita melakukan pemeriksaan ke atas kediaman lelaki itu di Eco Majestic Semenyih, Selangor pada jam 12.30 tengah malam dan menjumpai barang berkaitan laporan berkenaan.
“Polis kemudian menyerbu sebuah rumah di Dengkil, Selangor yang membawa kepada tangkapan enam warga Nigeria dan rampasan beberapa kad ATM pelbagai bank dan nombor akaun,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Abd Khalid berkata, pihaknya menerima 16 laporan berhubung kes penipuan kiriman bungkusan di Subang Jaya dari Januari lalu hingga hari ini, membabitkan kerugian RM404,088.
Beliau menasihatkan orang awam supaya tidak menyerahkan kad ATM atau maklumat akaun kepada individu tidak dikenali, selain tidak mudah terpedaya dengan tawaran menerusi media sosial.
“Polis memandang serius perkara ini dan tidak akan berkompromi dengan sesiapa yang terbabit dalam aktiviti sedemikian. Pemantauan secara berterusan dan konsisten akan terus dilakukan di sekitar Subang Jaya dari semasa ke semasa.
“Sebarang maklumat mengenai aktiviti jenayah penipuan boleh disalurkan kepada polis Subang Jaya di talian 03-56210343,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd



