Netanyahu mohon pengampunan, guna alasan perbicaraan pecahbelahkan negara

Netanyahu mohon pengampunan, guna alasan perbicaraan pecahbelahkan negara

Baitulmaqdis: Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, yang sedang dibicarakan atas tuduhan rasuah, mengumumkan pada Ahad bahawa beliau telah menghantar permohonan pengampunan, dengan alasan kes yang berlarutan itu sedang memecahbelahkan negara.

Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, sebelum ini menulis kepada Presiden Israel, Isaac Herzog, meminta beliau memberikan pengampunan kepada Netanyahu, yang secara konsisten menafikan sebarang salah laku dalam perbicaraan tersebut.

“Perbicaraan kes saya telah berjalan hampir enam tahun, dan dijangka berterusan selama beberapa tahun lagi,” kata Netanyahu dalam satu kenyataan video.

Beliau berkata beliau mahu meneruskan perbicaraan sehingga dibebaskan, “tetapi realiti keselamatan dan politik – kepentingan negara – menuntut sebaliknya. Negara Israel sedang berdepan cabaran besar.”

“Sambungan perbicaraan ini sedang merobek kita dari dalam, mencetuskan perpecahan sengit dan menajamkan jurang,” tambahnya.

Kes terhadap Netanyahu telah mendedahkan perpecahan dalam masyarakat Israel antara penyokong dan penentangnya.

Penyokong Netanyahu menolak perbicaraan itu sebagai bermotifkan politik.

Perdana menteri itu dan isterinya, Sara, dituduh dalam satu kes menerima lebih daripada AS$260,000 dalam bentuk barangan mewah seperti cerut, barang kemas dan champagne daripada para hartawan sebagai balasan untuk layanan politik.

Beliau juga dituduh cuba berunding bagi mendapatkan liputan media lebih memihak kepadanya daripada dua agensi media Israel dalam dua kes lain.

‘Permintaan luar biasa’

Netanyahu berkata kewajipan untuk hadir memberi keterangan tiga kali seminggu telah “menjadi beban yang tidak tertanggung”.

“Tiga kali seminggu merupakan tuntutan yang mustahil,” katanya.

“Saya yakin, seperti ramai lagi di negara ini, bahawa penamatan segera perbicaraan ini akan banyak membantu meredakan ketegangan dan menggalakkan rekonsiliasi menyeluruh yang amat kita perlukan.”

Pejabat Herzog mengesahkan menerima permohonan pengampunan Netanyahu.

“Ini adalah permintaan luar biasa yang membawa implikasi besar. Selepas menerima semua pandangan berkaitan, presiden akan mempertimbangkan permintaan itu dengan penuh tanggungjawab dan keikhlasan,” kata kenyataan pejabat ketua negara itu.

Pada September lalu, Herzog memberi bayangan beliau mungkin memberikan pengampunan kepada Netanyahu, dengan berkata dalam satu temu bual bahawa kes perdana menteri itu “sangat membebankan masyarakat Israel”.

Netanyahu, 76, ialah perdana menteri paling lama berkhidmat di Israel, dengan tempoh lebih 18 tahun dalam tiga penggal sejak 1996.

Dalam penggal semasanya yang bermula akhir 2022, Netanyahu mencadangkan reformasi kehakiman yang luas, yang menurut pengkritik bertujuan melemahkan sistem perundangan.

Cadangan itu mencetuskan protes besar-besaran yang hanya reda selepas perang Gaza bermula pada Oktober 2023.

Ketua parti Likud itu berkata beliau akan bertanding dalam pilihan raya seterusnya, yang perlu diadakan sebelum akhir 2026.

‘Hanya yang bersalah meminta pengampunan’

Pemimpin pembangkang mengkritik Netanyahu kerana memohon pengampunan tanpa mengakui kesalahan dalam perbicaraan rasuah itu, dan menggesanya berundur daripada politik sebagai pertukaran untuk pengampunan.

“Saya menyeru Presiden Herzog: Anda tidak boleh memberikan pengampunan kepada Netanyahu tanpa pengakuan kesalahan, penyesalan dan pengunduran serta-merta daripada politik,” kata ketua pembangkang Yair Lapid dalam video di platform X.

Yair Golan, ketua parti pembangkang kiri The Democrats, turut senada: “Hanya yang bersalah meminta pengampunan,” tulisnya di X.

“Satu-satunya pertukaran yang boleh diterima ialah Netanyahu mengambil tanggungjawab, mengaku bersalah, meninggalkan politik dan membebaskan rakyat serta negara hanya itu akan menyatukan bangsa.”

Sebaliknya, beberapa anggota gabungan kerajaan menyokong permohonan Netanyahu.

Menteri Pertahanan, Israel Katz, menggesa Herzog memberikan pengampunan untuk menamatkan “jurang mendalam yang menyelubungi masyarakat Israel hampir sedekad, dan membolehkan negara ini bersatu semula.”

Selepas spekulasi media bahawa Netanyahu mungkin menarik balik sebahagian reformasi kehakiman kontroversi sebagai pertukaran untuk menamatkan perbicaraannya, Menteri Kewangan Bezalel Smotrich, ketua parti ultra-kanan Religious Zionism, menulis di X:

“Komitmen Religious Zionism terhadap reformasi sistem kehakiman akan diteruskan secara substantif, tanpa mengira pengampunan Netanyahu.”

“Jelas bagi setiap orang yang waras bahawa Netanyahu telah dianiaya selama bertahun-tahun oleh sistem kehakiman yang korup yang mereka-reka kes politik terhadapnya,” tambah Smotrich.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top