KL City lonjak ke tangga kedua Liga Super

KL City lonjak ke tangga kedua Liga Super

sukan@hmetro.com.my

Melaka: Kuala Lumpur (KL) City melonjak ke tangga kedua Liga Super selepas menewaskan Melaka FC 3-0 pada aksi di Stadium Hang Jebat Paya Rumput malam tadi.

Malah pelawat berjaya mendahului MFC seawal minit ketujuh menerusi jaringan Victor Abril sekali gus meletakkan tekanan tinggi kepada tuan rumah untuk mencatat kemenangan pertama mereka.

Gol terbabit tercipta selepas rembatan kencang Safawi Rasid ditepis keluar oleh penjaga gol MFC Muhammad Haziq Aiman namun bola singgah di kaki Abril yang terus merembat tepat ke dalam gawang tuan rumah.

Bagaimanapun MFC hampir menyamakan kedudukan dua minit selepas itu namun rembatan Juan Douglas sekadar menggegar tiang kiri gawang lawan.

Penguasaan pelawat terus terserlah selepas mereka berjaya menambah jaringan kedua pada minit ke-16 menerusi sepakan sepakan penalti Kpah Sherman selepas rakan sepasukannya Dmytro Lytvyn dikasari Nasir Basharudin.

Sherman mudah menewaskan Haziq untuk menghadiahkan jaringan kedua skuad terbabit untuk KL City selesa dengan penguasaan penuh mereka pada babak pertama perlawanan.

Sebaliknya anak buah jurulatih K Devan hanya mampu bertahan di kawasan sendiri selepas dua jaringan terbabit bagi mengelak gawang mereka terus bocor dengan lebih banyak gol pelawat.

Babak kedua menyaksikan KL City terus mencipta gerakan dan percubaan bertali arus ke kubu tuan rumah termasuk hampir menambah jaringan pada m-63 namun rembatan kencang Nicolao Cardosoterkena palang gol dan susulan rembatan deras Safawi sekadar terkena tiang kiri MFC.

Namun kerakusan mereka tidak terhenti di situ sebaliknya terus menambah derita tuan rumah dengan jaringan ketiga menerusi Declan Lambert pada minit ke-78 yang bijak merembat ke kanan gawang MFC selepas menerima hantaran lintang Kamal Azizi.

Keputusan terbabit menyaksikan MFC masih gagal mencipta kemenangan selepas lapan perlawanan dengan sekadar mencatat tiga mata menerusi tiga kali seri dan lima kekalahan pada penampilan sulung mereka di liga terbabit setakat ini.

Sementara skuad City Boys terus mengekalkan rekod tanpa tewas bersama Johor Darul Ta’zim (JDT) dengan 23 mata sekali gus menyaksikan mereka terus menghambat skuad Harimau Selatan di persada liga.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top