London: Pengurus Manchester United, Ruben Amorim, memuji keberanian anak buahnya bangkit semula selepas mencatat kemenangan 2-1 ke atas Crystal Palace, sekali gus menamatkan rekod kebal tuan rumah di Selhurst Park, hanya beberapa hari selepas kekalahan mengecewakan kepada Everton yang beraksi 10 pemain di Old Trafford.
Dalam aksi itu, United bangkit pada babak kedua menerusi jaringan Joshua Zirkzee dan Mason Mount untuk melonjak ke tangga keenam, mengatasi Palace yang turun ke tangga ketujuh.
“Penting untuk menang setiap perlawanan. Hari ini sekali lagi membuktikan bahawa apabila kami bermain dengan cara sama tetapi meningkatkan usaha, ketepatan hantaran dan pergerakan kecil yang kami latih, semua pada tempo lebih tinggi kami mampu menewaskan sesiapa,” kata Amorim.
Kemenangan itu adalah yang kedua buat United dalam 12 aksi di gelanggang lawan, hadir di antara venue paling sukar musim ini, selepas Palace tidak tewas dalam aksi liga di Selhurst Park sejak Februari.
Walaupun Palace menguasai babak pertama, Amorim, yang masih berdepan tekanan susulan permulaan hambar musim ini, berpuas hati dengan perubahan intensiti pasukannya selepas rehat.
“Kami meningkatkan rentak permainan pada babak kedua. Kami manfaatkan keadaan lawan yang sudah kelihatan penat sejak 15 minit terakhir babak pertama,” katanya.
“Perubahan utama ialah intensiti dan tempo permainan kami, malah kualiti ketika menyambungkan pergerakan, terutama bersama Josh, jauh lebih baik. Jadi saya rasa kami layak mendapat tiga mata dan saya gembira dapat berikan kemenangan ini kepada penyokong.”
Zirkzee, yang diturunkan menggantikan Matheus Cunha yang cedera, menjaringkan gol liga pertamanya hampir setahun dan keempat sejak menyertai United pada 2024.
“Untuk penyerang, gol memang sangat penting,” ujar Amorim.
“Dia tidak bermain banyak minit, tetapi cara dia memberi respons pada babak kedua lebih penting daripada sekadar gol.
“Perkara kecil seperti menang bola pertama supaya kami dapat bola kedua, hubungan itu sangat penting dalam permainan kami. Gol itu signifikan untuk pasukan dan untuk dirinya.”
© New Straits Times Press (M) Bhd



