'Scammer' guna taktik manipulasi emosi mangsa

'Scammer'  guna taktik manipulasi emosi mangsa

Ini kisah benar yang berlaku di kampung penulis sekitar tahun 1990-an apabila datangnya seorang lelaki memperkenalkan diri sebagai ahli perniagaan berjaya dari Kuala Lumpur. Beliau menyatakan perancangan membuka ladang mega sayuran yang menggunakan teknologi hidroponik dan kampung penulis dipilih sebagai rintis. Tanah yang bersesuaian sudah dikenalpasti, malah bagi menambahkan keyakinan untuk menjerat penduduk kampung, kerja-kerja awal membersihkan tanah dengan jentera berat sudah dimulakan.

Dibuka pelawaan untuk penduduk menyumbang modal dengan dijanjikan pulangan yang lumayan, malah ada gula-gula tambahan iaitu turut menawarkan jualan kereta dengan harga yang murah. Tawaran ini disambut meriah, puluhan ribu ringgit berjaya dikumpulnya dan semuanya terbongkar sebagai satu penipuan apabila si pelaku menghilang diri secara tiba-tiba. Meninggalkan tanah kosong dan kereta yang dijual murah sebenarnya kereta yang disewa. Itu kisah klasik bagaimana satu kampung di scam dalam skala besar.

Namun, pada waktu itu, pendedahan mengenai aktiviti scammer ini masih rendah dan kelompok sasaran adalah mereka yang mudah dimanipulasi seperti orang kampung. Selari dengan peralihan masa dan perubahan dalam era digital yang serba pantas, scammer tidak lagi perlu muncul secara bersemuka, penjenayah ini beralih kepada medium dalam talian sebagai penjenayah siber. Pemangsa tidak perlu lagi munculkan diri secara fizikal menjual air liur menjanjikan bulan dan bintang, sebaliknya hanya cukup di hujung jari atau memadai dengan satu panggilan telefon. Khalayak mangsanya pula lebih meluas, tidak lagi hanya orang kampung menjadi lubuk sasaran, tetapi mereka yang bekerja, pelajar waima golongan profesional berpangkat besar sekalipun turut terjerat dan menjadi mangsa.

Dari pembacaan laporan yang menjadi mangsa scammer di media, penipuan kini bukan lagi sekadar panggilan misteri atau e-mel palsu, tetapi sudah berevolusi dengan pelbagai rangkaian taktik berlapis yang menyasarkan emosi, keperluan ekonomi dan kepercayaan sosial masyarakat sebagai umpan yang berkesan untuk digunakan. Kerugian yang dialami bukan kecil, ada yang beratus juta hingga berbilion ringgit misalnya diperdaya dengan pelaburan palsu, tawaran kerja palsu, jualan kereta murah yang menipu dan tawaran barang mahal pada harga ‘terlalu bagus untuk benar’.

Setiap tahun bilangan laporan meningkat dan jumlah kerugian menjadi semakin besar, menandakan masyarakat masih belum cukup bersedia menghadapi taktik baharu penjenayah siber. Statistik yang dikeluarkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Bank Negara Malaysia (BNM) menunjukkan trend membimbangkan. Sehingga hujung 2024, sebanyak 35,368 kes penipuan dan jenayah komersial dicatat pada 2024, melibatkan kerugian hampir RM1.6 bilion. Ini bermakna, secara purata, hampir 100 kes penipuan dilaporkan setiap hari.

Ironinya, angka ini meningkat walaupun masyarakat diberi pelbagai peringatan dan kempen kesedaran dilaksanakan secara agresif oleh pelbagai agensi. Mengapa ini masih berlaku? Jawapannya tidak mudah, namun beberapa faktor utama dapat dikenal pasti.

Ada dua faktor utama yang penulis boleh simpulkan ialah yang pertama tahap literasi digital masyarakat masih rendah, dengan ramai pengguna tidak mengenali ciri asas laman web palsu, gagal membezakan panggilan rasmi dan panggilan penipuan serta mudah berkongsi maklumat perbankan peribadi kepada individu yang tidak dikenali. Keduanya kaedah yang digunakan penjenayah siber semakin sofistikated. Mereka tidak lagi bergantung kepada mesej atau panggilan palsu semata-mata, sebaliknya menyamar sebagai pegawai bank, pegawai polis atau wakil agensi kerajaan, lengkap dengan dokumen, surat dan panggilan video yang kelihatan sahih.

Namun, tidak adil untuk menuding jari kepada mangsa semata-mata. Realitinya, banyak sistem dan mekanisme sedia ada masih belum cukup tangkas menangani ancaman ini. Akaun penjenayah selalunya dibekukan lewat, kadangkala selepas wang dipindahkan ke akaun ketiga atau ke luar negara. Sistem pengesanan transaksi mencurigakan di sesetengah institusi kewangan juga masih belum cukup efisien untuk bertindak secara masa nyata.

Pendidikan digital pula masih bersifat reaktif dan bukan sistematik. Tidak banyak sekolah atau universiti yang menjadikan keselamatan siber sebagai sebahagian daripada silibus mereka, sedangkan majoriti pengguna telefon pintar terdiri daripada golongan muda. Media turut mempunyai peranan penting. Liputan kes bukan sahaja perlu menumpukan kisah mangsa, tetapi juga pendedahan taktik penjenayah dan panduan pencegahan kerana pendekatan ini lebih mendidik masyarakat berbanding memaparkan sensasi kehilangan wang.

Kesimpulannya, scam kini bukan hanya soal kehilangan wang, tetapi ia melibatkan keruntuhan kepercayaan, tekanan emosi dan kadangkala implikasi undang-undang. Menangani masalah ini memerlukan gabungan pendidikan literasi digital, tindakan penguatkuasaan tegas dan perubahan sikap kolektif iaitu dari cepat percaya kepada selalu menyemak. Dalam dunia di mana maklumat boleh dipalsukan dengan mudah, kewaspadaan adalah barisan pertahanan pertama kita.

Penulis Pentadbir di Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) serta Exco Persatuan Pegawai Tadbir dan Ikhtisas (PRAGMATIS) USIM

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top