RM5.9j lenyap nilai kereta tak tepat

RM5.9j lenyap nilai kereta tak tepat

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Jasa dan kejayaan berterusan Bahagian Penyiasatan Tatakelola (BPT) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam memperbaiki sistem sesebuah agensi serta memerangi rasuah tidak boleh dipertikaikan.

Ini terbukti apabila BPT memperoleh Anugerah Khas Ketua Pesuruhjaya SPRM bagi Tahun 2023 dan 2024 melalui kejayaan Penyiasatan Tatakelola ke atas pelbagai agensi.

Bagi tahun 2023, BPT SPRM berjaya mengenalpasti kelemahan-kelemahan dalam amalan, sistem dan tatacara berhubung isu pengurusan taksiran duti kastam bagi kenderaan import baharu dan terpakai membabitkan agensi Jabatan Kastam DiRaja Malaysia (JKDM).

Penyiasatan Tatakelola BPT tertumpu terhadap amalan, sistem dan tatacara kerja pengurusan taksiran duti kastam bagi kenderaan import baharu dan terpakai dilaksanakan.

Pengarah Bahagian Penyiasatan Tatakelola (BPT) SPRM, Datuk Mohd Zaki Hassan berkata, pengurusan taksiran duti kastam bagi kenderaan import baharu dan terpakai yang terkurang pungut menyebabkan kerugian kepada kerajaan sebanyak RM5.92 juta:

“BPT mendapati nilai kenderaan yang diikrar oleh pegawai penaksir kastam tidak tepat dan tidak dapat disahkan kerana menggunakan carian secara manual di dalam Warta Kerajaan Persekutuan yang outdated dan tidak terperinci.

“Model kenderaan yang diikrar tidak tepat iaitu wujud perbezaan varian model kenderaan import baharu dan terpakai di antara Borang Kastam (K1) dengan pendaftaran di Jabatan Pengangkutan Jalan.

“Malah pemeriksaan fizikal bagi kenderaan import baharu dan terpakai oleh Pegawai Pemeriksa Kastam tidak dibuat sepenuhnya,” katanya.

Mohd Zaki berkata, BPT kemudian berjaya mengenalpasti 10 cadangan penambahbaikan yang juga membabitkan agensi lain seperti Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM).

“Antara cadangan dikemukakan adalah mewajibkan syarikat pengimport atau ejen mengemukakan maklumat varian kenderaan melalui sistem ePermit semasa permohonan Permit Kelulusan (AP), mewujudkan integrasi di antara sistem ePermit, MITI dengan sistem IVIC, PUSPAKOM, JKDM dan pelbagai cadangan lain,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top