Papagomo mengaku tidak bersalah buat hantaran palsu di FB

Papagomo mengaku tidak bersalah buat hantaran palsu di FB

am@hmetro.com.my

Sepang: Blogger kontroversi, Papagomo mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas pertuduhan membuat dan memulakan penghantaran komunikasi yang palsu sifatnya, dengan niat mengganggu mana-mana orang, pada Mei lalu.

Ia berhubung dengan hantaran melalui Facebook (FB) miliknya yang mengaitkan 11 Ahli Parlimen PKR yang dikatakan akan menarik sokongan terhadap Perdana Menteri.

Papagomo atau nama sebenar Wan Muhammad Azri Wan Deris membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Sesyen Ahmad Fuad Othman selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa.

Pempengaruh politik itu didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 menggunakan perkhidmatan aplikasi iaitu akaun FB Muhammad Azri ketika membuat hantaran itu.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 7.32 malam, 28 Mei lalu dan hantaran itu dilihat di Aras 8, Menara 1, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Jalan Impact, Cyber 6, Cyberjaya, Sepang.

Jika sabit kesalahan, Wan Muhammad Azri boleh dikenakan hukuman mengikut Seksyen 233(2) akta sama yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM500,000 atau dipenjarakan tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya.

Tertuduh juga boleh didenda selanjutnya RM5,000 setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

Timbalan Pendakwa Raya, Fatin Hadni Khairuddin memohon supaya Wan Muhammad Azri dikenakan jaminan sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin.

Beliau juga memohon supaya mahkamah menetapkan satu tarikh untuk serahan dokumen.

Peguam Muhammad Rafique Rashid Ali bagaimanapun membantah jumlah jaminan yang ditawarkan berikutan anak guamnya sering memberi kerjasama ketika siasatan dijalankan terhadapnya.

“Anak guam saya memberi sepenuh kerjasama, bukan saja dengan MCMC malah dengan polis.

“Pihak kami juga memohon supaya mahkamah mengambil kira bahawa anak guam saya ada enam anak untuk disara dengan kehidupan sekarang yang sukar.

“Anak keenam anak guam saya juga adalah anak autisme yang memerlukan kos yang tinggi,” katanya.

Justeru, Muhammad Rafique memohon untuk jumlah jaminan yang lebih rendah.

Ahmad Fuad berkata, jumlah yang ditawarkan pihak pendakwaan adalah munasabah oleh itu mahkamah menetapkan jaminan sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin.

Mahkamah juga menetapkan tarikh 7 Januari sebagai sebutan untuk serahan dokumen.

Sementara itu, Muhammad Rafique ketika ditemui di luar mahkamah berkata, tarikh perbicaraan kes anak guamnya ditetapkan pada 27 hingga 30 April depan.

Katanya, pihak pembelaan juga difahamkan bahawa pendakwaan akan memanggil beberapa ahli parlimen untuk memberi keterangan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top