Isu sisa plastik perlu ditangani dengan bijak – PEM

Isu sisa plastik perlu ditangani dengan bijak – PEM

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Malaysia bukan sahaja berdepan masalah longgokan sampah yang diimport semata-mata.

Lebih memburukkan lagi keadaan, sisa plastik sampah di dalam negara sendiri juga menjadi penyumbang kepada pencemaran alam sekitar.

Presiden Persatuan Ekologi Malaysia (PEM), Profesor Dr Ahmad Ismail berkata, isu pencemaran sisa plastik di negara ini bukan hanya membabitkan sampah import sebaliknya di dalam negara sendiri juga banyak berlaku pembuangan sampah plastik.

Justeru, Malaysia dikatakan antara penyumbang kepada pencemaran plastik utama ke lautan.

“Pencemaran plastik sudah banyak dibincangkan di peringkat global, membunuh haiwan laut seperti ikan paus, ikan lumba-lumba, penyu, ikan dan burung laut.

“Lebih bahaya mikro plastik apabila ia pecah kepada saiz kecil dan dimakan plankton, ikan dan lain-lain yang kemudian masuk ke sistem rantai makanan dan boleh diambil manusia,” katanya kepada Harian Metro.

Beliau berkata, pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu menangani isu plastik dengan bijak termasuk meningkatkan kempen, memberikan pendidikan, amalan kitar semula, kemudahan untuk kitar semula, sistem ganjaran yang menarik dan kawalan pencemaran plastik daripada sampai ke laut.

“Penggunaan plastik sudah sebati dalam amalan hidup masyarakat sekarang. Pengurusan plastik sangat penting dan sistem pelupusan perlu lebih cekap.

“Plastik bukan sahaja mencemar fizikal tetapi bahan kimia dalam plastik boleh masuk dalam makanan dan pencemaran mikro plastik yang boleh memberikan kesan kepada kesihatan manusia,” katanya.

Katanya, semua kawasan ada pencemaran plastik yang perlu diuruskan dengan betul.

“Mungkin undang undang baharu perlu diperkenalkan bagi mengurangkan pencemaran plastik.

“Dasar sifar plastik juga masih releven. Pelan Hala Tuju Malaysia ke arah Sifar Plastik Sekali Guna 2018-2030, mesti diteruskan dengan agresif dan sistematik,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top