Penemuan baharu bedah siasat kedua ubah hala siasatan kes pelatih PALAPES Syamsul Haris

Penemuan baharu bedah siasat kedua ubah hala siasatan kes pelatih PALAPES Syamsul Haris

suharmin.yusuf@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Polis akan melengkapkan kertas siasatan pelatih Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, Syamsul Haris Shamsudin sebelum dirujuk kepada Pejabat Peguam Negara (AGC) dalam masa terdekat.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, ia susulan terdapat penemuan baharu pada laporan penuh bedah siasat kedua yang dijalankan.

“Saya diberi taklimat oleh Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang akan melengkapkan kertas siasatan dalam masa terdekat bersama dengan syor kepada AGC tentang hala tuju siasatan.

“Ini kerana ada perbezaan dengan hasil siasatan awal iaitu laporan perubatan awal yang menjadi asas kepada punca kematian dengan penemuan baharu siasatan oleh polis.

“Jadi biar pihak polis selesaikan dengan menyerahkan kertas siasatan kepada AGC,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penutupan Simposium Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC) di sini, hari ini.

Terdahulu Harian Metro melaporkan, bedah siasat kedua terhadap jasad pelatih Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, Syamsul Haris Shamsudin mendapati punca kematiannya disebabkan kecederaan pada leher.

Perkara itu didedahkan peguam, Datuk Naran Singh selepas mendapatkan laporan bedah siasat daripada Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Pada 26 Ogos lalu, Mahkamah Tinggi memerintahkan kubur pelatih PALAPES itu digali semula, bagi membolehkan bedah siasat kedua dijalankan dalam tempoh 14 hari selepas jasad dikeluarkan.

Syamsul Haris, 22, meninggal dunia di Hospital Kota Tinggi, 28 Julai lalu, selepas menjalani latihan di Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (PULADA) di Ulu Tiram sebelum dikebumikan keesokannya di Tanah Perkuburan Islam Kampung Rinching Ulu, Semenyih, Selangor.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top