FELDA, FGV tangani isu notis tanah Terengganu ikut prosedur undang-undang

FELDA, FGV tangani isu notis tanah Terengganu ikut prosedur undang-undang

redzuan.muharam@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) dan FGV Holdings Berhad (FGV) akan menangani secara profesional isu berkaitan notis amaran pendudukan secara tidak sah membabitkan beberapa daerah di Terengganu melalui prosedur perundangan.

Agensi berkenaan dalam kenyataan media bersama berkata, langkah itu bertujuan menjamin ketelusan dan keadilan dalam setiap tafsiran serta keputusan yang akan dibuat.

Katanya, ia kerana FELDA dan FGV mengakui wujudnya pelbagai pandangan dan spekulasi susulan isu berkenaan berikutan notis amaran pendudukan secara tidak sah dan kesalahan menceroboh di Besut, Setiu, Dungun, Hulu Terengganu, Marang dan Kemaman, Terengganu yang dikeluarkan oleh kerajaan negeri berkenaan pada 30 November, 1 dan hari ini, merujuk kepada ladang lot FELDA dan FGV.

“FELDA dan FGV sedang meneliti implikasi undang-undang secara mendalam dan akan mengambil semua langkah yang perlu bagi mengurus kesannya terhadap kedua pihak (FELDA dan FGV) supaya kepentingan peneroka terus terpelihara.

“Pendekatan itu adalah untuk memastikan perlindungan hak setiap pihak terbabit termasuk menjamin kesinambungan pendapatan kesemua 1,283 pekerja yang bergantung sepenuhnya kepada operasi ladan berkenaan.

“Kebajikan pekerja FELDA dan FGV, kepentingan komuniti peneroka serta kestabilan sosioekonomi komuniti setempat akan terus dipertahankan sebagai keutamaan tertinggi dalam sebarang proses dan penyelesaian,” katanya.

Dalam kenyataan sama, FELDA dan FGV menegaskan bahawa notis amaran yang dikeluarkan oleh kerajaan Terengganu tidak memberi sebarang kesan terhadap operasi ladang peneroka dan seluruh komuniti peneroka di FELDA Wilayah Terengganu.

Katanya, komuniti peneroka boleh meneruskan aktiviti sara hidup seperti biasa namun notis amaran itu mempunyai implikasi langsung terhadap operasi FELDA dan FGV khususnya perancangan jangka panjang serta kelancaran aktiviti komersial yang berkaitan.

“Impaknya turut merangkumi penurunan hasil menyumbang kepada pendapatan negara sekali gus memberi kesan kepada komuniti peneroka

bergantung kepada prestasi sektor perladangan,” katanya.

FELDA dan FGV juga kekal optimis bahawa penyelesaian terbaik akan dapat dicapai

melalui proses perundangan yang teratur dan semangat kerjasama antara semua institusi kerajaan terbabit.

“FELDA dan FGV beriltizam untuk memastikan setiap tindakan yang dilaksanakan adalah selaras dengan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.

“Ia tetap memelihara kepentingan pekerja, komuniti peneroka, menghormati bidang kuasa negeri serta menyumbang kepada kestabilan industri perladangan negara secara keseluruhan,” katanya.

Dalam pada itu, FELDA dan FGV memaklumkan, kerajaan Terengganu mempunyai bidang kuasa dalam urus tadbir tanah namun notis amaran dikeluarkan yang memberi tempoh tiga hari untuk FELDA dan FGV mengosongkan atau merobohkan struktur binaan serta memusnahkan tanaman amat ketat, menekan, sangat terhad juga singkat dalam konteks pengurusan ladang dan operasi komersial.

Katanya, FELDA mempunyai hak dan asas yang jelas serta kukuh di bawah Akta Tanah (Kawasan Penempatan Berkelompok) 1960 (Akta 530) yang memberi mandat dan tanggungjawab secara langsung kepada pihaknya untuk membangunkan Kawasan Penempatan Berkelompok (GSA).

“Ini juga selaras dengan kuasa yang diberikan di bawah Akta Pembangunan Tanah 1956 (Akta 474). Buat masa ini, FELDA dan FGV sedang menjalankan proses semakan menyeluruh ke atas semua dokumen berkaitan, termasuk sejarah, rekod pembayaran, bayaran premium tanah, status hak milik dan syarat pembangunan ladang.

“Proses semakan itu dilaksanakan secara teliti melalui audit tanah yang komprehensif dan verifikasi silang dengan data pihak berkuasa negeri bagi memastikan ketepatan dan kelengkapan semua maklumat,” katanya.

Menurut kenyataan sama, FELDA dan FGV akan bertindak berdasarkan rekod rasmi dan dokumentasi yang disahkan serta disokong oleh fakta.

Katanya, pembangunan ladang komersial FELDA dan FGV di Terengganu selama ini bertujuan menjana pendapatan bagi menyokong pembangunan komuniti, penyediaan infrastruktur dan pelaksanaan program peningkatan sosioekonomi peneroka.

“Ekosistem perladangan secara lestari membabitkan pengeluaran buah sawit hinggalah kepada pemprosesan buah tandan segar (BTS) ke jualan minyak sawit dilakukan oleh anak syarikat FELDA iaitu FGV.

“Operasi berkenaan turut memainkan peranan penting dalam merancakkan aktiviti ekonomi setempat melalui peluang pekerjaan, perkhidmatan sokongan dan rantaian industri lain di negeri berkenaan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top