UMK sedia bantu, beri sokongan kepada keluarga Muhammad Amidee

UMK sedia bantu, beri sokongan kepada keluarga Muhammad Amidee

nfazlina@nstp.com.my

Kota Bharu: Universiti Malaysia Kelantan (UMK) menyediakan bantuan dan memberikan sokongan kepada keluarga penuntut Ijazah Doktor Falsafah (PhD) yang maut selepas kereta terjunam ke dalam tasik universiti kampus Jeli, petang tadi.

UMK menerusi kenyataan di Facebook berkata, Allahyarham Muhammad Amidee Abdullah, 25, adalah penuntut PhD di Fakulti Biokejuruteraan dan Teknologi (FBKT) universiti berkenaan.

“Allahyarham berasal dari Kampung Manal Jaya, Tanah Merah. Pada masa ini, Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca kemalangan.

“Pihak UMK sedang memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa bagi proses siasatan berkenaan,” katanya.

UMK turut merakamkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga Allahyarham dan meminta warga kampus serta orang ramai supaya tidak menyebarkan maklumat yang tidak sahih.

Terdahulu, pelajar lelaki PhD maut, manakala rakannya terselamat selepas kenderaan yang mereka naiki terbabas sebelum terjunam ke dalam tasik di UMK Jeli, petang tadi.

Dalam kejadian jam 6.20 petang, mangsa berusia 25 tahun meninggal dunia di lokasi kejadian manakala rakannya yang sempat keluar menyelamatkan diri kini dirawat di unit kecemasan Hospital Jeli.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top