Nubhan, Dr Fie jadi kawan demi anak

Nubhan, Dr Fie jadi kawan demi anak

norhayati_nordin@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Penyanyi Nubhan Ahamad, 36, mendakwa tidak berkesempatan bertemu dengan bekas isterinya, Dr Afifah Hidayah Ahmad Tawfek atau Dr Fie, 35, di dalam dewan mahkamah kerana mereka duduk di bahagian berbeza.

Katanya, mereka masing-masing duduk di bahagian lelaki dan wanita yang membuatkan tiada ruang untuk berjumpa termasuk berbincang hal anak kerana urusan pengesahan lafaz cerai itu perlu diselesaikan lebih dulu.

“Kami tak sempat jumpa pun (dalam dewan mahkamah) sebab saya duduk di bahagian lelaki dan dia pula di bahagian perempuan. Kami menghormati syarat ditetapkan Mahkamah Syariah.

“Kalau nak bersalam pun (buat kali terakhir) sudah tak boleh sebab bukan suami isteri lagi. Dia (Dr Fie) juga kemungkinan sudah habis idah (tiga kali suci),” katanya kepada media ketika ditemui di luar Mahkamah Rendah Syariah Sepang, semalam.

Terdahulu, Hakim Syarie Umamuddin Yunus memutuskan lafaz talak kali kedua dibuat Nubhan terhadap Dr Fie pada 26 Ogos lalu adalah sah selepas meneliti secara terperinci dan berpuas hati dengan fakta diberikan kedua-dua belah pihak.

Nubhan berkata, dia bagaimanapun tiada masalah untuk berkawan dengan bekas isteri itu demi anak mereka dan memaklumkan hubungan masih tetap baik sehingga kini walaupun sudah bercerai.

“Kami akan jadi kawan demi anak, tiada masalah. Namun, sekarang ini fokus saya pada kerjaya, anak dan keluarga. Mohon doa yang baik-baik.

“Alhamdulillah, setakat ini perniagaan yang saya usahakan bersama emak (Mak Jenny) pun masih mendapat sambutan baik pelanggan. Tak diboikot, terima kasih pada semua,” katanya kepada media.

Semalam, Mahkamah Rendah Syariah Sepang memutuskan Nubhan dan Dr Fie sah bercerai talak dua untuk kali kedua, meskipun pernah rujuk sekali.

Ia berikutan, lafaz cerai pertama pasangan ini berlaku pada 19 Januari 2017 dan mereka rujuk tiga hari kemudian, manakala lafaz cerai yang kedua dibuat Nubhan terhadap Dr Fie pada 26 Ogos lalu adalah sah.

Nubhan dan Dr Afifah, seorang doktor gigi, mendirikan rumah tangga pada 29 Ogos 2015 dan sudah hidup bersama selama 10 tahun.

Mereka dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Aafiya, 8, Ahmad Aaffan, 6, serta Afzan Nayille, 3.

Pada 26 November lalu, Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam memutuskan hak hadanah atau penjagaan tetap terhadap tiga anaknya diberikan kepada Dr Fie.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top