Rom: Seorang bekas jururawat lelaki yang menganggur di Itali ditahan atas dakwaan menipu pencen ibunya selama tiga tahun dengan menyamar sebagai wanita itu, lapor Odditycentral,
Penyiasat percaya Graziella Dall’Oglio meninggal dunia secara semula jadi pada usia 82 tahun di Borgo Virgilio berhampiran Bandar Mantua.
Namun, anak lelakinya yang berusia 57 tahun tidak pernah mengisytiharkan kematian wanita itu, sebaliknya menyimpan mayat ibunya di rumah.
Dia kemudian menyamar sebagai wanita itu selama tiga tahun demi terus menerima pencennya.
Sepanjang tempoh itu, tiada siapa yang mempersoalkan perkara berkenaan dan lelaki terbabit terus mengutip pencen ibunya.
Rancangan itu terbongkar awal bulan ini apabila lelaki terbabit terpaksa memperbaharui kad pengenalan ibunya yang tamat tempoh.
Di Itali, pemilik dokumen yang tamat tempoh perlu memperbaharuinya sendiri secara peribadi dan lelaki terbabit tidak mempunyai pilihan selain menyamar sebagai wanita tua dan muncul di pejabat pendaftaran.
Rakaman kamera pengawasan menunjukkan suspek memandu ke pejabat pendaftaran sedangkan Graziella tidak memandu sebelum menuju ke bangunan pejabat dengan pakaian wanita.
Seperti watak Robin Williams dalam Mrs Doubtfire, lelaki itu memakai rambut palsu, bedak asas, pengilat kuku, pakaian wanita dan barang kemas, namun penampilannya jelas menarik perhatian.
Menurut media Itali, bulu gelap di belakang leher, tangan dan dagu adalah perkara pertama yang menimbulkan curiga kakitangan pejabat pendaftaran.
Selepas menyedari sesuatu yang tidak kena, seorang pekerja menghubungi pihak berkuasa dan penipu pencen itu terbongkar.
Selepas penggeledahan di rumah lelaki itu di Borgo Virgilio, polis menemukan mayat Dall’Oglio yang diawet dan disembunyikan di dalam almari kecil dan dibalut dengan dua beg tidur.
Difahamkan, anak lelakinya menggunakan pengalamannya sebagai bekas jururawat untuk mengeluarkan darah dan cecair badan dari mayat bagi mengelakkan peereputan.
Dianggarkan lelaki itu memperoleh pendapatan tahunan sebanyak 53,000 Euro (kira-kira RM253,000) hasil gabungan pencen ibunya, dan pendapatan daripada tiga rumah keluarga.
Dia kini didakwa atas penipuan pencen, menyembunyikan mayat dan beberapa pertuduhan lain.
© New Straits Times Press (M) Bhd




