am@hmetro.com.my
Baling: Seorang lelaki berusia 41 tahun terselamat selepas berjaya keluar dari kereta BMW 5 Series yang terbakar di Kampung Kemangi, Jalan Kupang – Grik, di sini hari ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Baling, Zulkhairi Mat Tanjil berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kebakaran itu jam 11.34 pagi.
Beliau yang mengetuai operasi bersama sepasukan anggota BBP Baling yang tiba di lokasi kejadian untuk memadam kebakaran tidak lama kemudian.
“Kebakaran itu disedari pemandu kereta itu selepas terhidu bau hangit ketika dalam perjalanan dari Grik menuju ke Baling dan sedang mendaki jalan berbukit.
“Bomba menggunakan air dan buih bagi memadam kebakaran dan kebocoran petrol dari paip tangki menyebabkan api marak dan membakar keseluruhan kereta mewah terbabit,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Zulkhairi berkata, tiada kemalangan jiwa dilaporkan namun kebakaran itu menyebabkan kereta itu musnah hampir 90 peratus.
“Setakat ini, nilai kerugian dalam kebakaran itu masih dalam siasatan,” katanya.
Zulkhairi berkata, tiada alat pemadam api dalam kenderaan itu dan jika tidak ia boleh membantu memadam api dari peringkat awal.
Katanya, api berjaya dikawal jam 12.19 tengah hari dan operasi tamat sepenuhnya jam 12.55 tengah hari.
© New Straits Times Press (M) Bhd




