Liverpool: Pengurus Liverpool, Arne Slot, mengakui pasukannya kini kehilangan “fear factor” rentetan prestasi hambar, apabila Sunderland berjaya membawa pulang satu mata hasil keputusan seri 1-1 di Anfield, awal pagi tadi.
Juara Liga Perdana Inggeris (EPL) itu kini gagal menang dalam tiga perlawanan liga berturut-turut di laman sendiri dan hanya mampu menyelamatkan satu mata hasil gol sendiri Nordi Mukiele menentang Black Cats.
Sunderland hampir mencatat kemenangan pertama mereka di Anfield sejak 1983 apabila Chemsdine Talbi membuka tirai jaringan.
Walaupun Mukiele secara tidak sengaja menanduk masuk rembatan Florian Wirtz untuk gol penyamaan, Wilson Isidor gagal memanfaatkan peluang keemasan untuk membawa pulang tiga mata apabila rembatannya dihalang Federico Chiesa pada masa tambahan.
Sejak memenangi lima perlawanan pembukaan liga musim ini, Liverpool hanya menang dua daripada sembilan perlawanan terakhir mereka.
“Pasukan yang kami tentang sekarang ini berasa mereka mampu untuk menewaskan kami. Bukan sekadar berasa, tetapi ia terbukti musim ini.
“Walaupun dalam perlawanan yang kami menang, ia menambahkan keyakinan pasukan lawan yang lain bahawa sesuatu mungkin berlaku kerana kemenangan kami tidak mudah,” kata Slot.
Harapan Slot selepas meraih kemenangan 2-0 ke atas West Ham Ahad lalu untuk membawa perubahan dalam pasukan tampak masih tidak menjadi.
Mohamed Salah diketepikan dalam kesebelasan utama buat perlawanan kedua berturut-turut, manakala Wirtz dan Alexander Isak sekali lagi gagal memberikan impak sepadan harga mereka yang melebihi £100 juta (RM550 juta).
Salah dimasukkan pada awal separuh masa kedua, namun masih sukar menembusi pertahanan Sunderland yang tersusun rapi.
“Saya tahu sebelum perlawanan Sunderland pasukan yang kental untuk ditembusi dan sukar mencipta peluang.
“Ia perlawanan di mana kami tidak mencipta banyak peluang dan agak malang dengan gol yang diterima. Ia defleksi dan boleh pergi ke mana-mana, tetapi dalam tempoh kami sekarang, ia masuk,” tambah Slot.
© New Straits Times Press (M) Bhd




