Banjir: Kanak-kanak 4 tahun maut selepas bot penyelamat terbalik

Banjir: Kanak-kanak 4 tahun maut selepas bot penyelamat terbalik

Songkhla: Seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun maut selepas bot dinaikinya terbalik ketika operasi menyelamat banjir di selatan Thailand, minggu lalu, lapor AsiaOne.

Berdasarkan hantaran di Facebook pada 27 November lalu, seorang ahli keluarga menyatakan kanak-kanak itu bernama Amidala Arayawat atau lebih dikenali sebagai Padme.

Dia dikatakan berwajah seakan warga asing dengan rambut kerinting.

Menurut keluarga, pada hari kejadian, Amidala bersama abang dan ibunya terperangkap di rumah mereka di Jalan Banja, wilayah Songkhla apabila air banjir naik secara mendadak sehingga hampir mencecah tingkat dua, lapor Thaiger.

Ibu kanak-kanak itu pada mulanya memohon bantuan pemindahan secara dalam talian, menjelaskan bahawa sekiranya pasukan penyelamat tidak dapat tiba, dia merancang untuk berenang ke rumah jiran yang terletak di kawasan lebih tinggi.

Pasukan penyelamat akhirnya berjaya tiba dan memindahkan keluarga berkenaan. Namun, ketika bot melalui arus kuat, ia terbalik menyebabkan Amidala terlepas daripada pelukan ibunya dan dihanyutkan arus.

Dua hari selepas kejadian, keluarga mengesahkan dalam hantaran selepas mayat Amidala ditemukan.

Di ruangan komen, ramai netizen melahirkan rasa terkejut dan menyampaikan ucapan takziah.

Seorang pengguna menulis, “Saya tidak pernah menjangkakan perkara ini berlaku” manakala seorang lagi mengulas, “Tolong jaga kesihatan mental dan fizikal anda termasuk semua ahli keluarga.”

Setakat 1 Disember lalu, angka kematian akibat banjir di lapan wilayah selatan Thailand meningkat kepada 267 orang.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top