Abu Dhabi: Lando Norris bukan saja berdepan kelajuan pencabarnya, malah perlu mengekang rasa gugup ketika memburu gelaran dunia Formula Satu (F1) yang boleh menamatkan penguasaan empat tahun Max Verstappen pada Grand Prix Abu Dhabi, Ahad ini.
Selepas dua hujung minggu penuh kesilapan sendiri, pendahulu kejuaraan itu dan rakan sepasukannya di McLaren, Oscar Piastri, perlu melalui perlumbaan terakhir tanpa sebarang kecuaian bagi menghalang pemandu nombor satu Red Bull itu daripada melengkapkan kebangkitan dramatik pada hujung musim.
Buat pertama kali sejak perebutan empat penjuru di perlumbaan akhir Abu Dhabi 2010, saingan kejuaraan membabitkan lebih daripada dua pemandu dengan McLaren kini paling gelisah apabila perlu sentiasa mengawal asakan Verstappen.
Norris membawa kelebihan 12 mata ke atas Verstappen menjelang penentu kejuaraan, selain memiliki kelebihan 16 mata di depan Piastri, dan hanya perlu menamatkan perlumbaan di atas podium untuk muncul juara dunia.
Namun, Verstappen jelas memiliki momentum dengan lima kemenangan dalam lapan perlumbaan terakhir ditambah pula dengan situasi lebih stabil tanpa gangguan rakan sepasukan atau arahan pasukan yang merumitkan.
Pada hujung minggu lalu di Qatar, dua minggu selepas Norris dan Piastri dibatalkan penyertaan di Las Vegas akibat keadaan bawah kereta tidak mengikut peraturan, McLaren sekali lagi kecundang apabila tersilap membuat keputusan hentian pit yang membuka ruang kepada Verstappen untuk menang mudah.
Piastri menjadi pemandu terpantas di setiap sesi, tetapi tetap menamatkan saingan di tempat kedua manakala Norris ketiga keputusan yang menghidupkan pentas pertarungan besar di padang pasir Ahad ini, antara yang paling dinantikan sejak Verstappen menamatkan era kejuaraan Lewis Hamilton pada 2021.
Di atas kertas, Norris berada di landasan terbaik. Tetapi sejarah baharu dan lama mengingatkan bahawa apa saja boleh berlaku apabila semuanya berada di hujung tanduk.
Sebagai contoh, pada 2010, juara dunia dua kali Ferrari, Fernando Alonso tiba di Abu Dhabi dengan kelebihan lapan mata mengatasi Mark Webber dari Red Bull, manakala rakan sepasukannya Sebastian Vettel ketinggalan 15 mata di tempat ketiga di depan Lewis Hamilton dari McLaren.
Vettel meraih petak utama, memenangi perlumbaan, Hamilton mengekori di tempat kedua, manakala Alonso dan Webber masing-masing di tempat ketujuh dan kelapan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




