am@hmetro.com.my
Kota Kinabalu: Seorang guru di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha mengakui berasa bersalah kerana tidak menyerahkan dokumen yang mungkin boleh membantu siasatan polis berhubung kes Allahyarham Zara Qairina Mahathir.
Saksi ke-53, Nur Shukriah Mohd Fauzi berkata, dia hanya menyedari kepentingan menyerahkan dokumen berkenaan kepada pihak berkuasa selepas hadir di Mahkamah Koroner bulan lalu.
Keterangannya mengenai kenyataan pelajar daripada siasatan dalaman yang disimpan di sekolah itu menarik perhatian mahkamah.
“Oleh kerana ia tidak diminta, kami tidak mahu campur tangan tetapi secara peribadi, saya memang berasa bersalah dan saya rasa itu adalah kesilapan saya,” kata Nur Shukriah yang dipanggil semula ketika peguam Farrah Nasser menyoalnya.
Guru disiplin itu juga bersetuju dengan soalan Farrah bahawa pihak pengurusan sekolah sudah mengarahkan kakitangan supaya tidak mendedahkan apa-apa kepada orang luar termasuk polis dan ibu Zara Qairina mengenai apa yang berlaku di sekolah itu.
Terdahulu, Shukriah memberitahu peguam Clarice Vyonne Conrad bahawa pada masa itu, kakitangan mengikut arahan daripada pihak atasan untuk tidak menyerahkan siasatan itu kepada polis.
Shukriah: Kami tidak memberikan kenyataan itu kerana kami bimbang berat sebelah, dituduh mengubah dokumen atau disalah tafsir oleh pihak lain.
Clarice: Adakah terdapat sebarang garis panduan Kementerian Pendidikan (KPM) yang menyatakan bahawa polis tidak boleh menerima dokumen sokongan daripada sekolah secara sukarela untuk membantu siasatan mereka?
Shukriah: Apa yang dinyatakan ialah pihak berkuasa hanya boleh diberikan dokumen itu atas permintaan rasmi.
Farrah dan Clarice mewakili ahli keluarga Zara Qairina.
Inkuiri itu dijadualkan bersambung pada jam 2 petang.
© New Straits Times Press (M) Bhd




