Kes lemas di Taman Prima Saujana: Adik meninggal dunia di hospital, abang masih hilang

Kes lemas di Taman Prima Saujana: Adik meninggal dunia di hospital, abang masih hilang

am@hmetro.com.my

Kajang: Kanak-kanak lelaki yang dihanyutkan arus ketika cuba mengambil bola di dalam longkang di Lorong 1/3A Taman Prima Saujana, di sini, hari ini ditemukan kira-kira dua kilometer (km) dari lokasinya terjatuh, malam ini.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun itu ditemui di Sungai Merbau, Kampung Sungai Kantan, di sini, jam 7.47 malam.

Bagaimanapun katanya, kanak-kanak berkenaan disahkan meninggal dunia di Hospital Kajang, di sini, pada 10 malam ketika sedang mendapatkan rawatan.

“Seorang lagi mangsa iaitu remaja lelaki berusia 14 tahun yang juga abang kanak-kanak berkenaan dan turut dihanyutkan arus ketika kejadian masih belum ditemui.

“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) remaja itu sedang dijalankan membabitkan tiga pasukan di kawasan sungai berkenaan sehingga ke pertemuan muara Sungai Langat,” katanya pada sidang media di lokasi kejadian di sini, hari ini.

Katanya, setakat ini SAR masih diteruskan namun jika keadaan cuaca kurang baik ia mungkin akan dihentikan sementara dan akan disambung semula pagi esok.

Menurutnya, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu pada 6.29 dan SAR turut membabitkan polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Angkatan Pertahanan Awam (APM).

Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata, SAR remaja lelaki itu dilakukan dalam radius kira-kira lima kilometer (km) daripada lokasi mangsa dikatakan terjatuh sehingga ke muara Sungai Langat.

Katanya, operasi turut membabitkan pasukan Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dan Unit K9 JBPM.

Difahamkan, sebelum kejadian itu, kanak-kanak lelaki itu dan abangnya sedang bermain bola bersama beberapa rakan lain di padang berhampiran perumahan berkenaan.

Terdahulu media melaporkan, seorang kanak-kanak dan remaja lelaki dilaporkan hanyut dibawa arus ketika cuba mengambil bola di dalam longkang di Lorong 1/3A Taman Prima Saujana, di sini, hari ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top