Suami kepada aktres Datin Seri Zizie Ezette, Datuk Seri Bung Moktar Radin dilaporkan meninggal dunia pada jam 1.46 pagi tadi di sebuah hospital swasta di Kota Kinabalu.
Khabar duka itu disampaikan Zizie menerusi hantaran di Instagram Stories miliknya sebentar tadi.

Berita pemergian Ahli Parlimen Kinabatangan yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah itu juga turut disahkan oleh anaknya, Naim Kurniawan Moktar, melalui satu hantaran di Facebook.
“Assalamualaikum. Dengan penuh dukacita dimaklumkan bahawa ayahanda kami, Moktar bin Radin, telah menghembuskan nafas terakhir pada 05 Disember 2025, jam 1.46 pagi (14 Jamadilakhir 1447H).
“Mohon semua mendoakan agar roh beliau dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama mereka yang beriman. Al-Fatihah,” katanya dalam kenyataan tersebut.

Beberapa jam sebelum berita sedih itu diumumkan kepada umum, Zizie sempat berkongsi beberapa video di Instagram Stories bagi memohon doa orang ramai untuk suaminya.
“They may not know his heart buat I do. For 16 years I’ve seen his kindness, his generosity, his selfless love for people. Please keep him in your prayers,” tulis Zizie dalam salah satu video yang menampilkan dirinya bersama anak-anak.
Dalam satu lagi hantaran, Zizie meluahkan rasa reda dan menyerahkan segalanya kepada ketentuan Ilahi.
“Some prayers don’t have words anymore, only tears and trust. Tonight I leave one beloved soul in Allah’s hands and let this moon carry what my heart can’t say out loud,” coretnya.
Terdahulu, Bung Moktar yang turut memegang jawatan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lamag dilaporkan menerima rawatan di hospital swasta sama.
Allahyarham merupakan anak kelahiran Kampung Bilit, Sukau, Kinabatangan, Sabah pada 14 September 1959.



